PETALING JAYA – Kewujudan ramai pemandu e-hailing haram yang menggunakan aplikasi tidak berdaftar bukan sahaja boleh merisikokan penumpang, malah turut menjejaskan pendapatan pemandu e-hailing sah.
Seorang pemandu e-hailing yang beroperasi di Lembah Klang dikenali sebagai Haikal, 53, berkata, kehadiran pemandu e-hailing haram ini sebenarnya telah menyebabkan berlakunya penurunan kadar tambang sejak kebelakangan ini.
Katanya, ini disebabkan syarikat pengendali perkhidmatan e-hailing berdaftar perlu bersaing dengan pengendali aplikasi e-hailing haram yang diketahui memang menawarkan tambah yang jauh lebih murah.
“Akibatnya, pendapatan kami sebagai pemandu berdaftar terjejas ekoran harga tambang diturunkan sehingga 20 peratus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Seorang lagi pemandu e-hailing, Ken, 42, berkata, pendapatannya terjejas teruk sejak tahun lalu ekoran kadar tambang e-hailing yang ditetapkan sangat rendah gara-gara persaingan dengan aplikasi e-hailing haram.
“Mereka sanggup buat apa saja termasuk mengenakan tambang yang sangat rendah dan tidak masuk akal bagi menghantar penumpang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Sementara itu, seorang penumpang e-hailing dikenali Abul, 43, mengakui agak terkejut apabila mendapati kadar tambang e-hailing ketika ini sangat rendah berbanding tahun lalu.
“Saya guna e-hailing dari Taman Bukit Perdana ke BP Mall di Batu Pahat, Johor cuma RM7. Pemandu ambil saya dari jarak 3 kilometer (km) dan hantar saya kira-kira 5 km lagi.
“Sebagai penumpang tentu saya suka tambang rendah, tetapi berasa simpati juga dan beri RM10 kepada pemandu itu kerana saya juga pernah memandu e-hailing sebelum ini,” katanya.














