fbpx

UPSI bangunkan Modul 3M bantu pendidikan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahasiswa UPSI (tiga dari kiri) mendidik pelajar Orang Asli berpandukan berpandukan Modul 3M di Kolej Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI di Tanjung Malim baru-baru ini.

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya membangunkan Modul 3M bagi membantu memajukan tahap pendidikan Orang Asli di negeri ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, UPSI diberi tanggungjawab melaksanakan program Bersepadu Orang Asli sejak 2020 di bawah Program EmpowerNCER Akademik @Perak.

Beliau yang juga Pengarah Program EmpowerNCER Akademik@Perak berkata, pada tahun ini UPSI masih diamanahkan untuk meneruskan program berkenaan agar usaha meningkatkan pencapaian akademik anak-anak Orang Asli berkesinambungan.

“Program itu bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dan peratusan kehadiran murid Orang Asli terutama dalam fasa peralihan ke Tahun Enam dan sekolah menengah menerusi kaedah pengajaran tambahan berkesan berdasarkan modul yang dibangunkan oleh pakar-pakar pendidikan UPSI.

“Modul ini merangkumi asas pembelajaran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, kelestarian minat, motivasi, kemahiran insaniah, serta komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui program itu, Norkhalid berkata, ia turut membantu graduan UPSI dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain untuk mendapat peluang pekerjaan.

Jelasnya, mereka yang terpilih dilantik untuk mengendalikan bengkel di kampus yang menggunakan modul 3M di kolej kediaman.

Sepanjang tahun lalu, katanya, seramai 900 murid Orang Asli dari 15 buah sekolah di lima daerah iaitu Muallim, Batang Padang, Kampar, Hulu Perak, Kinta serta Kuala Kangsar terbabit dengan program EmpowerNCER Akademik@Perak yang berupaya memantapkan tahap akademik dan sahsiah murid selain memberi pendedahan kepada murid tentang dunia luar.

“Selain itu seramai 1,400 pelajar keluarga B40 daripada 22 sekolah di tujuh daerah di Perak memperoleh manfaat daripada program penyerahan peranti tablet di bawah program EmpowerNCER Akademik@Perak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI yang juga Timbalan Pengarah Program EmpowerNCER Akademik@Perak berkata, selain UPSI dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), IPT tempatan, ibu bapa, ketua komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata, hal itu selaras dengan komitmen kerajaan bagi 2022 yang memperuntukkan sebanyak RM274 juta untuk komuniti orang Asli bertujuan melaksanakan program peningkatan taraf hidup orang Asli seperti pemberian subsidi, bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200,000 Orang Asli,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI