PETALING JAYA – Lenggong Geopark dan Sarawak Delta Geopark kini diiktiraf sebagai Taman Geologi Global UNESCO (UGGp) ketiga dan keempat di Malaysia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pengiktirafan berprestij itu dimuktamadkan oleh Lembaga Eksekutif UNESCO pada 23 April lalu di Paris bersama dengan 12 Geopark yang lain dari seluruh dunia.
Beliau berkata, penyerahan sijil rasmi secara fizikal telah berlangsung semalam di lokasi sama.
“Dengan pengiktirafan ini, Malaysia kini mempunyai empat UGGp, selepas Langkawi UGGp dan Kinabalu UGGp.
“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam jaringan geopark global, di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan lapan Geopark Kebangsaan yang sedang diperkasa sebagai calon berpotensi ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Arthur berkata, kedua-dua geopark itu dicalonkan atas nilai saintifik dan warisan yang luar biasa di mana Lenggong Geopark merangkumi kawasan seluas 2,248 km per segi merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO (sejak 2012) yang memaparkan lebih 1.8 juta tahun sejarah manusia melalui penemuan arkeologi.
“Sementara itu, Sarawak Delta Geopark pula menonjolkan kepelbagaian geologi yang kompleks dalam Sistem Orogeni Tethyside.
“Geopark ini juga merupakan bukti penting proses putaran lawan jam pulau Borneo serta pembentukan laut purba Proto-South China Sea,” katanya.
Katanya, pengiktirafan tersebut dijangka memberi impak signifikan kepada negara dari segi peningkatan geopelancongan, pemuliharaan warisan geologi secara mampan serta penjanaan ekonomi komuniti setempat.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memelihara dan mengurus kawasan yang mempunyai nilai warisan geologi kepentingan antarabangsa secara mampan.
“Usaha ini selaras dengan Agenda Pembangunan Negara serta Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDGs) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendukung aspirasi
Kerajaan MADANI yang menekankan nilai Kemampanan (pemeliharaan alam sekitar), Kesejahteraan (ekonomi setempat), dan Hormat (warisan budaya),” katanya. – KOSMO! ONLINE














