Segala-galanya bermula apabila penulis mengilat ikan toman yang hidup di sungai berair payau di Sungai Sepetang, Perak.
Sungai berarus pasang dan surut ini juga merupakan habitat ikan-ikan muara seperti siakap putih, siakap merah, jenahak, kerapu dan pelbagai lagi di hilirnya.
Cuma jika ingin memancing ikan muara, harus keluar ke kanan menuju ke hilir sebaik keluar dari Sungai Lubuk Buntar yang menjadi pengkalan tempat bot tekong Jebat diparkir.
Jika mencari toman air payau pula, perlu belok ke kiri menuju ke hulu Sungai Sepetang.
Itu pun tidak perlu jauh naik ke hulu kerana di kuala sungai pun sudah ada ikan toman, malah di hadapan jeti juga ada.
Kelibat rohu
Ketika trip pertama, saya bersama Nazreen sibuk memainkan gewang propeller yang membuatkan ikan toman menggila.
Pada masa sama, kelihatan ada ikan bermain air di tengah-tengah sungai dan kadangkala ia ‘meletus’ dengan kasar.
Saya menyangkakan itu adalah perbuatan ikan toman, jadi terus melontarkan gewang ke arah letusan-letusan berkenaan.
Tekong hanya mengetawakan saja perbuatan saya itu.

Ujarnya, ikan toman tidak gemar bermain di lokasi yang terbuka, ia lebih minat berlegar rapat di kawasan reba.
Alangkah terperanjatnya apabila Jebat memberitahu, itu semua kelakuan ikan rohu. Sungguh tidak disangka, selama berpuluh tahun saya dalam industri ‘hanyir’ ini, wujud ikan rohu di habitat berair payau dan ada arus pasang surut.
Tambah Jebat, pemancing yang datang dari luar jarang hendak memancing ikan rohu kerana mereka lebih gemar mengilat ikan toman.
Biasanya, hanya penduduk sekitar suka pancing dasar ikan rohu yang akan dijual jika dapat banyak atau sekadar menjadi santapan keluarga.
Populasi ikan rohu di sungai ini juga masih banyak kerana rata-rata kawasan tebing tidak dapat diakses pemancing. Mereka hanya turun ke sungai dengan menggunakan bot.
Aktiviti menjaring juga kurang di sini kerana nelayan lebih memilih untuk melakukan kerja-kerja mereka di kawasan berair masin mencari spesies ikan muara.
Jadi, tidak hairanlah jika ada pemancing boleh mendapat tangkapan berbelas ekor rohu dalam satu hari memancing.
Saiz rohu di sungai ini juga dalam lingkungan satu hingga empat kilogram seekor, jarang dapat lebih besar dari
itu.
Kumpulan ikan rohu ini juga dikatakan datang dari kawasan hulu Sungai Sepetang akibat lombong-lombong yang pecah ketika banjir besar.
Lama-kelamaan, ia dapat beradaptasi dengan air payau dan terus bermastautin di kawasan yang kuat air pasang dan surut ini.
Trip kedua
Di trip pertama, kami tidak memancing rohu kerana tidak membawa peralatan dan umpan untuknya. Namun, saya sudah pun menyimpan hasrat untuk merasa pancingannya, lantas satu lagi trip diatur selepas itu.
Di trip kedua, saya membawa satu set spinning berkekuatan 6-12lb bersama kekili saiz 1000 yang diisi tali 10lb.
Perambut pula saya mengikut saranan tekong iaitu berkekuatan 20lb, bercabang dua dengan setiap satu panjang sekaki dan diikat mata kail kecil Daiichi saiz 10 atau apa-apa mata kail yang sama saiz tetapi berteras halus tetapi kuat.
Umpan untuk ikan rohu di sungai ini mudah sahaja iaitu roti Gardenia kerana ia lebih kuat bertahan di dalam air berarus.

Roti dibuang tepinya, dipotong dadu dan dimasukkan ke dalam satu bekas, kemudian bes minuman berperisa strawberi cap Double Lion direnjis ke atas roti.
Bekas akan digoncang supaya perisa tadi lebih bersebati dengan roti.
Saya ada juga mencuba roti perisa lain tetapi langsung tidak disentuh rohu. Mungkin bau strawberi itu lebih ‘menyengat’ untuk rohu.
Selepas itu, potongan roti yang berperisa akan dicangkuk satu persatu ke mata kail hingga ke suku perambut seperti sate supaya ia tidak cepat habis digetu ikan-ikan kecil sebelum rohu merembatnya.
Seketul batu ladung hidup saiz antara nombor 4 hingga 6 dimasukkan di shock leader sebelum swivel yang menyambungkan perambut bermata kail untuk menenggelamkan umpan agar tidak hanyut dibawa arus.
Banding kekuatan
Kami tidak seharian memancing rohu kerana ketika air surut merupakan masa keemasan untuk mengilat ikan toman.
Ketika itu, ikan toman akan bersesak-sesak di dalam kawasan reba yang ada di sungai.
Hanya ketika air naik pasang barulah Jebat akan memilih kawasan lubuk dan mengikat bot ke pokok yang ada di tebing sungai untuk memancing rohu di lokasi redup.
Kawasan pancingan ikan rohu ini juga merata di Sungai Sepetang kerana ia tidak memilih lubuk-lubuk tertentu.
Waktu pancingannya juga tidak khusus kerana ia boleh sahaja dipancing 24 jam tanpa mengira air surut atau pasang.
Jika ada kawanan ikan rohu bermain di sekitar kawasan bot berlabuh, sekejap sahaja umpan akan dirembatnya.
Kami sempat merasa beberapa ekor rohu ketika trip kedua ini, sebelum air menjadi surut semula.
Pada saya, ikan rohu yang hidup di air payau ini lebih kuat berbanding saudaranya di air tawar.
Ikan yang sama saiz boleh saya katakan sekali ganda lebih kuat melawan apabila menggunakan set pancing sama kelas.
Warna ikan rohu di sini juga lebih cerah berbanding yang dipancing di kawasan lombong, dan mengikut kata Jebat, rasanya juga lebih sedap.
Cuma satu sahaja yang tidak seronok, selain buaya ada juga kewujudan ikan bandaraya di habitat sama.
Pasti ikan perosak ini akan mengganggu gugat kelestarian spesies ikan-ikan lain di sini.













