SEREMBAN— Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Negeri Sembilan memberikan mandat kepada Datuk Seri Aminuddin Harun serta Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, dasar kerajaan yang dipimpin mesti sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat termasuk petani, nelayan, peniaga kecil, penjaja dan golongan miskin di desa.
Katanya, mandat yang diberikan kepada PH membolehkan kerajaan negeri bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu kos sara hidup, kemiskinan tegar serta meningkatkan peluang pekerjaan menerusi pelaburan.
“Setiap kali rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, perkara yang mesti diselesaikan ialah soal kemiskinan tegar, nasib penjaja kecil, pendapatan rakyat dan peluang pekerjaan.
“Pelaburan penting kerana ia membawa pekerjaan dan menjamin masa depan rakyat,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di Seremban, malam ini.
Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba menghasut kebencian dan perpecahan sehingga boleh menggugat keamanan negara.
“Musuh kita bukan Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Musuh kita ialah penyamun, perompak, pengkhianat dan penghasut,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














