TAIPING – Dua pusat hiburan di sini yang disyaki melakukan pelanggaran hak cipta terhadap karya berdaftar dan digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan komersial dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pukul 2.30 petang itu dilakukan hasil maklumat dan aduan oleh wakil pemilik hak cipta berhubung kegiatan dua buah premis yang menggunakan karya hak cipta bagi aktiviti perniagaan.
“Hasil pemeriksaan dilakukan telah menemui set karaoke mengandungi salinan langgaran karya rakaman filem, bunyi dan lagu yang digunakan bagi tujuan perniagaan.
“Pemilik perniagaan juga gagal untuk mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kebenaran bagi karya filem yang dituntut oleh pemilik hak cipta,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, wakil pemilik hak cipta telah melakukan pengesahan awal ke atas set karaoke tersebut dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
Kesalah berkenaan, katanya, ialah ada dalam milikannya, jagaan atau kawalan, bagi apa-apa kegunaan selain daripada untuk kegunaan persendirian dan domestik, apa-apa salinan langgaran.
“Kesemua unit set karaoke, monitor dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan keseluruhan melibatkan dua premis tersebut dianggarkan berjumlah RM 56,235,” katanya. – KOSMO! ONLINE














