LENGGONG – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong di Kampung Tersusun Bukit Sapi sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Saarani Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM17 juta bagi pengurusan rangkaian lima SMTDR untuk tahun kewangan 2026.
Katanya, peruntukan itu menjadi bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan tahfiz menerusi sokongan menyeluruh merangkumi operasi sekolah, emolumen guru, latihan, makanan pelajar, kebajikan asrama dan penyelenggaraan.
“Peruntukan ini menggambarkan bahawa pembangunan pendidikan tidak hanya diukur pada binaan fizikal semata-mata. Yang lebih utama ialah memastikan suasana pembelajaran yang baik, kebajikan pelajar dipelihara dan guru-guru terus mempunyai ruang terbaik untuk mendidik generasi pewaris negeri,” katanya.
Menurut beliau, keunikan SMTDR Lenggong terletak pada pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Tahfiz yang menggabungkan pengajian Tahfiz al-Quran dengan akademik arus perdana. – KOSMO! ONLINE














