KUALA LUMPUR – Laluan Rel Transit Ringan 3 (LRT3) Shah Alam akan mula beroperasi secara rasmi pada Ahad ini selepas majlis perasmian yang dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehari lebih awal.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, majlis perasmian rasmi pembukaan laluan tersebut akan diadakan pada 28 Jun di depot LRT3 sebelum operasi penuh bermula keesokan harinya.
“Kami akan mengumumkan bahawa upacara pembukaan LRT3 Shah Alam akan disempurnakan pada Ahad ini oleh Perdana Menteri di depot. Maklumat lanjut akan diumumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.
Pembukaan LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama dengan Johan Setia dijangka memberi manfaat kepada ratusan ribu penduduk di koridor barat Lembah Klang selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya. – KOSMO! ONLINE














