fbpx
Nurhaswani Afni (dua dari kanan) yang menghadapi pertuduhan melakukan kekerasan jenayah ke atas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 31 Ogos 2025 ketika di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Sebutan semula kes wanita serang Sultan Nazrin 1 Julai depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes melibatkan Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, yang didakwa melakukan kekerasan jenayah ke atas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Majistret Norizan Riduan membuat keputusan itu dalam prosiding di Mahkamah Majistret Ipoh di sini.

Difahamkan, tarikh tersebut ditetapkan bagi merekodkan pengakuan tertuduh yang sebelum ini diarahkan untuk menjalani pemeriksaan Psikiatri.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Nishaalini manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amrick Singh Sandu.

Pada 8 September lalu, Nurhaswani Afni didakwa telah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Kinta pada pukul 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan daripada wanita terbabit.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dikejutkan dengan kejadian seorang wanita menceroboh naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin.

Wanita itu pada awalnya dilihat masuk melalui bahagian tepi pentas utama dan berdiri di barisan belakang sebelum berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.

Kejadian yang berlaku pada pukul 8.20 pagi itu bagaimanapun berjaya dihentikan pasukan keselamatan yang bertindak pantas menahan suspek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN