SHAH ALAM – Kos penganjuran termasuk majlis pembukaan dan penutupan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor antara perkara utama yang sedang diteliti Kerajaan Negeri bagi memastikan temasya itu dilaksanakan secara lebih berhemah tanpa pembaziran.
Exco Belia dan Sukan, Mohd. Najwan Halimi berkata, langkah itu dibuat susulan titah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bersetuju agar penganjuran Sukma diteruskan, namun dengan pendekatan penjimatan kos.
Katanya, perincian lanjut berkaitan penyesuaian perbelanjaan akan dibentangkan kepada Sultan Sharafuddin dalam sesi menghadap pada Rabu ini sebelum diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 30 April ini.
“Kita junjung titah Tuanku yang memberi perkenan untuk teruskan penganjuran Sukma, namun dengan nasihat supaya kos dikurangkan.
“Jadi kita akan perincikan semula perbelanjaan termasuk cadangan ‘scale down’ bagi majlis pembukaan dan penutupan selain venue utama perasmian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Untuk rekod, kos penganjuran Sukma Selangor menelan belanja sehingga RM100 juta dengan sukan itu akan berlangsung bermula 15 hingga 24 Ogos depan.
Kosmo! semalam melaporkan teka-teki status penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 akhirnya terjawab apabila Sultan Sharafuddin berkenan supaya temasya dwitahunan itu diteruskan mengikut jadual asal pada Ogos.
Menurut Mohd. Najwan, perkenan Sultan Selangor itu telah memberikan kelegaan kepada seluruh ekosistem sukan di negara ini dalam memberikan ruang kepada atlet menunjukkan bakat seterusnya
mengenal pasti bakat-bakat baru untuk diketengahkan dalam sukan.
Beliau menegaskan, setakat ini tiada sukan digugurkan dengan mengekalkan 37 acara sukan termasuk penambahan silambam, muay thai dan petanque.
Mengulas lanjut, Mohd. Najwan berkata, proses naik taraf infrastruktur bagi penganjuran sukan dwitahunan itu telah hampir 80 peratus termasuk pusat akuatik Darul Ehsan.
“Kos bagi infrastruktur adalah RM40 juta dan kita tidak ada bina apa-apa fasiliti baharu. Namun kena faham bahawa kerja-kerja naik taraf ini adalah untuk kegunaan selepas Sukma yang boleh digunakan bagi persatuan sukan nanti,” katanya. -KOSMO!ONLINE














