GEORGE TOWN – Seorang peserta larian dilaporkan maut akibat strok haba selepas menyertai satu acara larian sejauh 30 kilometer di pusat bandar ini, Sabtu lalu.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam satu kenyataan berkata, kematian lelaki tempatan berusia 42 tahun itu merupakan kes pertama penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di negeri ini bagi tahun 2026.
Menurutnya, mangsa telah menyertai acara larian bermula pada pukul 6.30 pagi, 25 April lalu melibatkan trek berbukit dengan melalui kawasan hutan sekitar George Town.
“Sekitar pukul 4 petang, mangsa dilaporkan pengsan berhampiran garisan penamat. Mangsa telah diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi sebelum dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang dalam keadaan kritikal.
“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Namun demikian, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.08 pagi, 26 April (Ahad).
“Punca kematian adalah disebabkan strok haba (heat stroke) dengan komplikasi rhabdomyolysis dan kegagalan pelbagai organ. JKNPP merakamkan ucapan takziah keluarga mangsa,” katanya di sini.
Susulan kejadian itu, JKNPP menasihatkan orang ramai khususnya individu yang menjalankan aktiviti luar atau bersukan lasak agar sentiasa peka terhadap tahap kesihatan diri serta keadaan cuaca semasa.
“Pastikan hidrasi badan yang mencukupi dan segera menghentikan aktiviti sekiranya mengalami tanda-tanda awal kelesuan haba seperti pening, mual atau kekejangan otot. – KOSMO! ONLINE














