fbpx
GHAZALI (tengah) yang bekerja di ladang sekitar Pantai Remis sebelum diserang angin ahmar antara penerima Agihan Keuntungan Ladang Rakyat oleh Perak SADC.

Bakti pada tanah bantu di saat sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERUAS – Seorang warga Kampung Indah di Pantai Remis, di sini tidak menyangka pengorbanannya mengerjakan ladang demi menyara keluarga terbalas pada saat dirinya berhadapan dengan kesukaran ketika ini.

Menurut Ghazali Din, 57, dia kini terlantar di rumah ekoran di­serang angin ahmar pada 2001 yang menyebabkan rutin hariannya terhenti dan tidak dapat lagi bekerja di ladang secara sambilan di sekitar Pantai Remis.

Katanya, dia yang turut berpe­ranan sebagai siak di Masjid Al-Aliah, di sini sebelum ini terpaksa mengharapkan bantuan kewangan daripada pihak seperti Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain sumbangan orang ramai demi kelangsungan hidup.

“Sewaktu saya masih sihat, pendapatan bulanan diterima daripada kerja ladang dan sebagai siak mencecah sekitar RM1,200 sebulan.

“Isteri saya, Zakiah Mohamed Suboh, 52, yang merupakan suri rumah sepenuh masa tampil membantu dengan menjual kuih kepada pelanggan di sekitar kawasan ini, dengan pendapatan kira-kira RM50 seminggu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Justeru, katanya, apabila terpilih sebagai penerima Agihan Keuntu­ngan Ladang Rakyat di bawah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), dia berasakan baktinya kepada ladang di sekitar Pantai Remis terbalas.

Ghazali menjelaskan, dia mene­rima bantuan berkenaan sebanyak tiga kali sejak 2023, dengan kali terakhir adalah pada Mac lalu.

“Bantuan ini saya gunakan untuk menampung perbelanjaan ke­luarga terutamanya melibatkan pe­ngurusan diri dan sebahagian la­gi dimanfaatkan dengan membeli barangan niaga isteri.

“Alhamdulillah, biarpun wang bantuan itu diberikan secara tahunan, ia tetap berharga bagi kami kerana digunakan sebaiknya bagi kelangsungan keluarga,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Agihan Keuntungan Ladang Rak­yat telah diperkenalkan pada 1991, bermula di Perak Tengah iaitu melibatkan kawasan Air Kuning, Bukit Tunggal dan Lambor, sebelum diperluaskan ke daerah Selama mulai tahun 2001.

Program tersebut pada asalnya adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu masyarakat di sekitar ladang-ladang Perak SADC.

Bagaimanapun pada tahun 2019, Agihan Keuntungan Ladang Rakyat telah diperluaskan ke semua daerah di negeri ini.

Bantuan dihulurkan Perak SADC selari dengan sembilan agenda di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu membabitkan aspek kesejahteraan, ke­selamatan serta pembangunan dengan misi memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN