fbpx
Konflik di Selat Hormuz memberi impak yang sangat besar kepada dunia. GAMBAR JANAAN AI

Bersediakah kita hadapi satu lagi krisis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM sejarah moden, wabak Covid-19 adalah satu bencana dan malapetaka terbesar yang kita terpaksa hadapi bermula awal tahun 2020 dan berakhir tiga tahun kemudian.

Pandemik itu mencatat kira-kira 7 juta kematian, memusnahkan serta meranapkan sehingga berpuluh trilion ekonomi dunia, menyebabkan 500 juta orang hilang pekerjaan dan pelbagai lagi kesengsaraan.

Ketika dunia mahu pulih, perang Ukraine-Russia pula meledak pada 2022 yang sekali lagi menyebabkan kemelesetan ekonomi ekoran peningkatan harga minyak, baja dan makanan berikutan gangguan rantaian bekalan.

Kini ketidaktentuan bagaikan bertimpa-timpa apabila tercetus perang antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran bermula 28 Februari lalu yang menimbulkan krisis bekalan sumber tenaga api dari Asia Barat.

Konflik di Selat Hormuz memberi impak yang sangat besar kepada dunia kerana menjadi laluan kepada 20 juta tong minyak mentah dan produk petroleum sehari, mewakili 20 peratus perdagangan antarabangsa.

Harus disedari bahawa sebarang gangguan di laluan kritikal itu juga akan menggugat rantaian bekalan baja global sekali gus memberi kesan kepada lain-lain industri berkaitan termasuk aspek keselamatan bekalan makanan di dapur kita.

Sehingga hari ini, harga minyak mentah dunia kekal tinggi dalam tempoh gencatan senjata yang rapuh. Banyak negara cuba bertahan dengan menyalurkan subsidi minyak kepada rakyat, namun tidak mungkin dana kerajaan mampu menampung bagi satu tempoh yang panjang.

Pada masa yang sama, kesan domino daripada harga minyak ini ialah bukan sahaja kos bahan api yang mahal tetapi harga barangan asas turut naik dan akhirnya memberi tekanan inflasi barangan keperluan asas harian khususnya makanan.

Mudah kata, keadaan itu menyebabkan nilai wang dalam dompet kita menjadi semakin mengecil, ramai tidak mampu berbelanja dan ekonomi menguncup. Paling membimbangkan ramai akan kehilangan pekerjaan dan kadar kemiskinan kembali meningkat.

Oleh itu, adalah wajar bagi kita semua untuk segera mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan tempoh masa proses pemulihan ekonomi amat sukar dijangka sama seperti jangkaan bilakah perang di Asia Barat itu akan tamat.

Ikutlah seruan kerajaan untuk membuat persediaan semampu dan sebaik mungkin. Berbelanja secara berhemat serta mengubah cara hidup dengan lebih bersederhana.

Kepada parti-parti politik, hentikan bertelagah, menyebar dakyah dan fitnah. Sewajarnya kita semua tidak menjadikan krisis ekonomi ini untuk mengeruhkan lagi keadaan kerana masalah ini adalah fenomena global yang amat menuntut kepada kerjasama, perpaduan dan tolak ansur.

Jika bijak, lontarkan idea agar dapat memberi manfaat untuk kesejahteraan bersama. Ikutlah resmi lebah dan bukan sekadar berkokok seperti ayam jantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN