GUA MUSANG – Kesesakan trafik sejauh kira-kira tujuh kilometer berlaku selepas sebuah treler terbabas dan melintang jalan di Kilometer 9, Jalan Gua Musang–Kuala Lipis awal pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.10 pagi sebelum Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerima maklumat mengenai kejadian tersebut kira-kira 10 minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, treler jenis Scania yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju ke Gua Musang.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan ketika menuruni jalan selekoh berbukit sebelum terbabas dan melintang di tengah jalan.
“Keadaan jalan yang licin dan muatan berat dipercayai menjadi punca kemalangan. Akibat kejadian itu, pemandu dan pembantu treler mengalami kecederaan ringan dan telah dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan awal.
“Kemalangan berkenaan turut menyebabkan aliran trafik sesak sejauh kira-kira tujuh kilometer di kedua-dua arah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE














