WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyifatkan tentera laut Amerika Syarikat (AS) seperti lanun ketika beliau menggambarkan operasi merampas kapal di tengah-tengah sekatan Washington di pelabuhan Iran.
“(Tentera) Kami mendarat di atasnya dan kami mengambil alih kapal itu. Kami mengambil alih kargo, mengambil alih minyak. Ia adalah perniagaan yang sangat menguntungkan,” kata Trump pada perhimpunan di Florida kelmarin.
“Kami seperti lanun,” tambahnya dengan sorakan daripada orang ramai.
“Kami seperti lanun. Tetapi tidak bermain-main,” kata Trump.
Tehran secara efektif menutup Selat Hormuz, yang merupakan laluan utama untuk penghantaran minyak dan gas selepas permulaan kempen udara AS-Israel menentang Iran pada 28 Februari lepas.
AS mengumumkan sekatan pelabuhan Iran bulan lalu selepas rundingan damai di Pakistan gagal mencapai kejayaan.
Pusat Pemerintahan AS yang bertanggungjawab ke atas pasukannya di Asia Barat berkata, ia menyekat 45 kapal untuk memastikan pematuhan dengan sekatannya setakat kelmarin.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth memberitahu pemberita April lalu bahawa sekatan itu akan berlangsung selama yang diperlukan, manakala pegawai tentera tertinggi, Jeneral Dan Caine berkata, ia terpakai kepada semua kapal tanpa mengira kewarganegaraan, yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran. – AFP














