Dalam landskap kulinari tempatan yang semakin berkembang, kehadiran restoran yang mengetengahkan cita rasa serantau bukan lagi sesuatu yang asing.
Namun, membawa pengalaman autentik dari negara jiran dengan sentuhan yang dekat di hati rakyat Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar menu kerana menuntut kefahaman tentang selera, budaya dan emosi di sebalik setiap hidangan.
Restoran Seminyak yang terletak di pusat beli-belah KLGCC, Kuala Lumpur baru-baru ini membuka pintunya kepada pengunjung yang sukakan menu asli Nusantara.
Seminyak diasaskan oleh tiga wanita iaitu Lina Rahim, Leta Juangku dan pelakon popular, Datin Nelydia Senrose.
Menariknya, Seminyak menyajikan lebih 20 pilihan hidangan yang menyelerakan dari beberapa wilayah berbeza di Indonesia seperti Bali, Jawa Timur dan Jawa Barat.
Kongsi Lina Rahim, pemilihan juadah Indonesia untuk restoran tersebut adalah kerana dia menyedari bahawa juadah dari seberang mempunyai banyak persamaan dengan juadah Malaysia.
“Jika dilihat, makanan Malaysia dan Indonesia banyak persamaan, antaranya adalah masakan pedas dan juga bergoreng.
“Justeru, tidak sukar untuk memperkenalkan rasa asli dari Indonesia itu ke sini, bahkan sambutannya juga cukup menggalakkan,” katanya membuka bicara.

Lina menambah, pendekatan restoran itu bukan sekadar menyajikan hidangan, tetapi turut menitikberatkan keaslian rasa agar pelanggan dapat menikmati pengalaman seolah-olah berada di Indonesia sendiri.
“Apa yang membezakan Seminyak dengan restoran yang lain adalah penggunaan bahan masakannya yang asli dari Indonesia, manakala resipinya juga adalah turun-temurun dan dikekalkan keasliannya.
“Antara juadah yang wajib dicuba adalah nasi jinggo ayam bakar, satu juadah khas dari Bali.
“Nasi Jinggo mempunyai banyak persamaan dengan juadah popular Malaysia iaitu nasi lemak yang datang bersama nasi dan condiments.
“Bezanya adalah nasi jinggo disajikan bersama sambal dan juga serunding serta tempeh kacang,” katanya sambil menambah juadah itu juga merupakan juadah paling disukainya di premis itu.
Selain nasi jinggo, pengunjung juga boleh mencuba hidangan seperti nasi goreng hitam tinta cumi, ikan bawal goreng dabu-dabu, hidangan pencuci mulut seperti es teler dan minuman menyegarkan seperti es tambring Bali.
Bagi Seminyak, ketiga-tiga pemiliknya memberi jaminan bahawa setiap hidangan yang disajikan di restoran itu disediakan menggunakan bahan-bahan segar, dengan semua ramuan diperoleh daripada pembekal yang diperakui halal.
Ia mencerminkan komitmen jenama tersebut terhadap kualiti, konsistensi serta keyakinan pelanggan.
Selain pilihan hidangan nasi dan mi, restoran itu turut menawarkan menu-menu lain dengan tawaran harga antara RM16 hingga RM70 bagi satu hidangan.
Restoran dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
















