fbpx

Indonesia akan haramkan seks di luar perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan seorang lelaki dirotan kerana kesalahan di bawah undang-undang Islam di Aceh. - Foto AFP

JAKARTA – Parlimen Indonesia dijangka meluluskan undang-undang jenayah baharu dalam bulan ini yang akan menghukum pelaku hubungan seks di luar ikatan perkahwinan dengan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.

Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Bambang Wuryanto yang terlibat merangka draf itu berkata, undang-undang jenayah baharu tersebut dijangka diluluskan seawal  minggu depan.

Undang-undang itu jika diluluskan, akan terpakai kepada warganegara Indonesia dan juga rakyat asing tetapi hukuman zina hanya boleh berkuat kuasa sekiranya ada pihak membuat aduan kepada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

Bagi yang sudah berumah tangga  pula, pihak  berhak membuat aduan ialah suami atau isteri kepada pelaku hubungan seks di luar perkahwinan itu.

Undang-undang baharu itu juga membenarkan ibu bapa melaporkan kepada pihak berkuasa jika anak mereka yang belum mendirikan rumah tangga didapati melakukan hubungan seks iaitu perbuatan haram dan salah di sisi agama Islam.

Duduk serumah berlainan jantina sebelum berkahwin juga akan diharamkan dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.

Dalam pada itu, kumpulan-kumpulan perniagaan menyatakan kebimbangan mengenai kerosakan yang mungkin berlaku disebabkan oleh pelaksanaan peraturan baru tersebut terhadap imej Indonesia sebagai destinasi percutian dan pelaburan terkenal.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Indonesia (APINDO), Shinta Widjaja Sukamdani berkata, bagi sektor perniagaan, pelaksanaan undang-undang itu akan mewujudkan ketidakpastian undang-undang yang boleh mendorong para pelabur  mempertimbangkan semula untuk melabur di negaranya.

Sebelum ini, undang-undang bagi mengelakkan hubungan seks sebelum berkahwin itu ditetapkan untuk diluluskan pada tahun 2019 tetapi ia mencetuskan bantahan di seluruh negara dengan puluhan ribu orang mengambil bahagian dalam demonstrasi di Indonesia.

Ramai orang termasuk pelajar turun ke jalanan di bandar-bandar seluruh Indonesia dengan pertempuran  antara polis dan kumpulan penunjuk perasaan pernah berlaku di ibu kota negara tersebut, Jakarta.

Undang-undang ketat mengenai seks dan hubungan antara lelaki dan wanita pernah dilaksanakan di wilayah Aceh yang mempunyai majoriti penduduk muslim Indonesia di Pulau Sumatera.

Wilayah Aceh terkenal kerana menguatkuasakan hukum syarak dan telah menghukum pesalah-pesalah selepas mereka didapati bersalah melakukan perbuatan seperti berjudi, minum arak dan berkhalwat.

Dalam satu kes pada tahun 2021, dua lelaki yang melakukan hubungan seks menerima 77 kali sebatan daripada seorang pegawai polis dalam hukuman rotan awam.

Pada tahun  sama, seorang wanita dan lelaki masing-masing dikenakan 20 kali sebatan kerana ditangkap sedang berdua-duaan, manakala  dua lelaki dikenakan 40 kali sebatan setiap seorang kerana didapati mabuk akibat minum arak. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI