fbpx
DUA suspek didakwa mengeluarkan dan menjual minuman itu secara haram. – Morocco world news

19 maut, puluhan kritikal minum arak beracun di Maghribi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT, Maghribi – Sekurang-kurangnya 19 orang mati dan berpuluh-puluh yang lain dima­sukkan ke hospital selepas minum minuman keras beracun dari sebuah kios tepi jalan di Maghribi, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Seorang suspek berusia 48 tahun dan anak lelakinya turut ditahan berhubung kejadian itu, kata Direktorat Besar Keselamatan Negara (DGSN) dalam satu kenyataan. 

Kira-kira 30 mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dibawa ke hospital dengan dua daripada mereka masih berada di unit rawatan rapi. 

Kesemua mangsa arak beracun itu mengalami sakit kepala, muntah dan kejang perut, kata seorang jururawat di sebuah hospital di bandar Ksar El Kebir.

Kesemua mangsa dilaporkan mengambil minuman keras toksik di kedai suspek di mana penyiasat menemui hampir 50 liter cecair tersebut, demikian menurut laporan media. 

Hospital itu menerima sembilan mayat pada Selasa lalu, manakala angka kematian me­ningkat kepada 19 orang pada hari berikutnya, kata seorang pegawai kementerian kesihatan tempatan.

Undang-undang Maghribi me­larang penjualan minuman keras kepada orang Islam tetapi ia mudah didapati di bar, restoran dan kedai yang secara rahsia menawarkannya di sebalik tingkap legap atau langsir tebal.

Pada Julai tahun lalu, sekurang-kurangnya 20 orang maut dalam kejadian serupa di Oujda, timur Maghribi. – Agensi

POPULAR