fbpx

UCL: Napoli puas rentap ego The Reds

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAPOLI menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri untuk membenam Liverpool yang diletakkan sebagai pasukan pilihan. – AFP

NAPLES – Ketua Jurulatih Napoli, Luciano Spalletti menyeru agar barisan pemain tidak mendabik dada selepas mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menewaskan finalis musim lalu, Liverpool 4-1 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Kata Spalletti, prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan sa­ngat luar biasa kerana bukan mudah untuk menewaskan pasukan berkualiti seperti The Reds, tetapi dalam masa yang sama meng­akui keputusan itu memberikan tiga mata sahaja.

“Saya akui sangat berpuas hati dengan kemenangan yang dilakar kerana apabila anda menentang Liverpool, sudah tentu mereka akan diletakkan selaku pilihan untuk menang, tetapi sebaliknya berlaku kali ini.

“Kita telah mempamerkan prestasi yang luar biasa de­ngan mengekang pasukan lawan daripada bermain seperti biasa. Namun, ini hanyalah permulaan dan saya harap pemain tidak terbuai dengan kejayaan ini sekali gus bekerja keras untuk mengharungi aksi seterusnya,” kata­nya.

Sementara itu, Giovanni Simeo­ne yang juga anak kepada pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone cukup teruja apabila dapat menjaringkan gol pertama dalam kancah Liga Juara-Juara dan lebih manis ia dilakukan ke atas kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Liverpool.

“Saya sudah menantikan detik ini sekian lama kerana beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara merupakan impian saya sejak kecil lagi. Saya tidak sangka dapat menjaringkan gol pada aksi debut saya dalam pentas ini.

“Keputusan yang diraih sudah tentu menaikkan motivasi kami untuk tampil lebih cemerlang pada saingan musim ini,” kata pemain berusia 27 tahun yang di­pinjamkan daripada kelab Hellas Verona. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI