fbpx

Suami buang ego, isteri jangan pendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

JIKA anda peminat tegar drama Melayu, pastinya tahu mengenai kewujudan watak Jad Izzudin lakonan Redza Rosli dalam drama Bisik-Bisik Gelora yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada minggu lalu.

Panas baran. Itu salah satu sikap Jad yang paling dibenci se­hingga berjaya membuatkan darah penonton mendidih sepanjang menyaksikan drama tersebut.

Mengherdik, menghina dan menengking isteri itu antara sikap negatif yang dilakukan Jad terhadap isterinya Arumi lakonan Raysha Rizrose.

Ramai juga penonton dan netizen yang mengecam sikap seorang suami seperti Jad yang tidak pernah berhenti melepaskan panas baran terhadap isterinya.

Sepertinya sikap tersebut dilihat sudah menjadi norma dalam institusi rumah tangga hari ini yang tanpa sedar mencederakan emosi mangsanya iaitu isteri dan juga anak-anak.

Panas baran terlampau merupakan antara faktor terlerainya sebuah ikatan suami isteri yang dibina berlandaskan janji setia.

Jika dilihat, lebih 70,000 kes perceraian didaftarkan sepanjang fasa pandemik lalu dan salah satu puncanya ialah sikap panas baran terhadap pasangan selain isu kewangan.

Lebih teruk, ada yang tergamak mendera pasangan secara fizikal sehingga cedera, namun kerana rasa sayang dan malu, pe­rilaku kejam tersebut ditutup da­ripada pengetahuan umum.

Realitinya, kes penderaan di­sebabkan sifat panas baran terlampau semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Hal itu turut diakui oleh Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh yang memberitahu, kes panas baran melibatkan pasa­ngan suami isteri sememangnya semakin meningkat terutama sewaktu fasa pandemik.

“Dalam tempoh dua tahun ini, memang banyak berlaku terutama ketika bekerja dari rumah. Seperti sudah jadi senario biasa dalam hubungan suami isteri pada hari ini.

“Agak membimbangkan jika tidak dikawal kerana seperti yang kita tahu, sifat panas baran terlampau boleh membawa kepada penderaan emosi dan fizikal jika tidak dibendung,” katanya.

Menurut beliau, mangsa panas baran yang biasanya terdiri daripada kaum wanita seharus­nya tidak memendam rasa dan membiarkan diri diperlakukan dengan kejam oleh sang suami.

Ujarnya, antara punca mele­dakkan panas baran ialah sikap ego yang tidak boleh menerima sebarang pendapat daripada pasangan seterusnya mencetuskan pertelingkahan.

“Individu panas baran sebenarnya mereka sedar perilaku sendiri tetapi disebabkan ego, emosi amarah itu dilem­piaskan juga kepada pasangan.

“Isteri pula, ada segelintir yang tak mahu buat laporan polis kerana takut suami ditahan dan anggap perkara itu sebagai sebuah bentuk pengorbanan dalam rumah tangga.

“Sifat ego dan memendam rasa sebenarnya tidak elok dan dipanggil sebagai hubungan toksik yang lama-kelamaan boleh membawa kepada titik percerai­an,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi membendung kes sebegini daripada terus menghancurkan lebih banyak institusi perkahwinan, beliau menasihatkan pasangan yang mempunyai masalah supaya hadir ke sesi kaunseling bagi mendapatkan bantuan pakar.

“Lelaki selalunya ego untuk mengaku kelemahan sendiri, jadi orang ketiga iaitu kaunselor diperlukan untuk membantu selesaikan konflik antara mereka.

“Selain itu, individu tersebut juga disarankan untuk muhasabah diri dan jauhkan diri daripada individu lain jika mula rasa kemarahan meluap-luap,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI