TAPAH – Suami kepada pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang semasa mendaki Gunung Batu Putih di sini sejak dua minggu lalu yang dtemukan hari ini yakin dengan ketabahan dan kekuatan isterinya.
Menurut Haszman Othman, 61, dia yakin dengan kekuatan dan ketabahan isteriya sehingga ditemukan dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah. Macam saya katakan tadi, saya tahu orang rumah saya. Saya tahu dia kuat. Terima kasih banyak.
“Banyak terima kasih kepada semua yang terlibat terutama polis, bomba, pertuduhan bukan kerajaan (NGO) dengan Orang Asli,” katanya di Hospital Tapah di Tapah hari ini.
Dia juga berterima kasih kepada TNB Perak kerana menyediakan penginapan sepanjang 14 hari menunggu perkembangan isterinya.
Kelihatan dia juga berpelukan dengan ahli keluarga serta saudara mara terdekat.
Ketika ditanya pemberita ayat pertama yang dibualkan bersama isterinya, Haszman berkata, biarlah ia menjadi rahsia mereka berdua.
Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung.
Penemuan Jaslinda dianggap satu keajaiban kerana telah hilang selama 14 hari dengan bekalan makanan dan minuman yang terhad.
Difahamkan, Jaslinda bergantung pada air embun sungai, beri hutan dan tumbuhan liar. – KOSMO! ONLINE














