fbpx
Mohd. Dasuki (kiri) dan Wan Azizah menunjukkan keadaan Muhammad Al Idrus di rumahnya di Kampung Star, Gua Musang semalam.

Bergelut cari wang biayai anak sakit jantung, sumbing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Gaji RM1,000 sebulan yang diterima seorang meka­nik digunakan dengan sebaiknya bagi me­nyara keluarga dan membiayai kos perubatan anak bongsu yang menghidap penyakit lelangit sumbing, jantung dan buah pinggang.

Mohd. Dasuki Mohd. Nor, 44, berkata, gaji mengecat dan membaiki kenderaan itu digunakan untuk membeli keperluan susu, lampin pakai buang dan kos berulang-alik ke hospital untuk anaknya, Muhammad Al Idrus, 3.

Selain itu, katanya, wang ber­kenaan jugalah digunakan untuk perbelanjaan dapur keluarga.

Menurutnya, Muhammad Al Idrus tidak seperti kanak-kanak normal lain sejak lahir.

“Dia (Muhammad Al Idrus) tidak dapat bercakap, merangkak, berjalan atau berlari. Dia hanya meniarap dan baring sahaja.

“Saya dan isteri juga tidak pernah mendengar anak bongsu daripada empat beradik itu memanggil kami dengan panggilan abah atau mama,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Star di sini semalam.

Mohd. Dasuki memberitahu, selain pendapatan bulanan, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 untuk Muhammad Al Idrus sedikit sebanyak membantu mereka sekeluarga menampung keperluan anaknya itu.

Sementara itu, isterinya, Wan Azizah Wan Yusoff, 40, pula berkata, masalah kesihatan anak bongsunya itu dikesan selepas dua hari dilahirkan.

Kata Wan Azizah, anaknya hanya bergantung kepada susu khas yang diberikan sebanyak tujuh kali sehari melalui wayar atau tiub pada hidungnya.

“Selepas dilahirkan Muhammad Al Idrus mengalami demam kuning dan kami diminta untuk membuat pemeriksaan di Hospital Gua Musang sebelum dikesan menghidap pelbagai penyakit.

“Sehingga kini, dia masih menerima rawatan susulan di Hospital Gua Musang dan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai. Pada awalnya sukar untuk me­nerima keadaan ini, namun lama-kelamaan kami sekeluarga reda dan akan menjaga Muhammad Al Idrus dengan sebaiknya,” ujarnya.

Terdahulu, Wan Azizah me­nerima sumbangan susu, lampin pakai buang dan barangan makanan daripada Pengurus Projek Sektor Kemiskinan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), Muhammad Azri Abdul Jalil.

Muhammad Azri berkata, pihaknya dengan kerjasama daripada Persatuan Jantung Kesihatan Malaysia (MyHeart) bersetuju untuk memberi bantuan susu khas dan lampin pakai buang bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Tambahnya, bantuan kotak makanan asas daripada ­MyFundAction juga akan diberikan selama enam bulan.

Orang ramai boleh menya­lurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Mohd. Dasuki bernombor 03063020395528 atau menghubungi­nya di talian 010-953 6870.

POPULAR