SEREMBAN – Seorang wanita hidup berendam air mata setiap kali melihat bayinya yang berusia empat bulan menderita penyakit mielomeningokel (myelomeningocele) iaitu kecacatan disebabkan saraf tunjang tidak terbentuk dengan sempurna ketika dalam kandungan.
Lebih malang apabila bayi tersebut, Fatimah Azzahra Muhammad Nur Azam turut mengalami hydrocephalus, iaitu pengumpulan cecair berlebihan di dalam otak yang boleh meningkatkan tekanan dan menjejaskan perkembangan serta fungsi neurologi.
Ibunya, Norfarahanim Norshamsuddin, 33, berkata, Fatimah dilahirkan pada usia kandungan memasuki 36 minggu dan menjalani pembedahan tulang belakang sehari selepas dilahirkan.
Katanya, sejak dilahirkan Fatimah Azzahra telah dibedah sebanyak tiga kali melibatkan tulang belakang dan kepala selain menjalani rawatan berkala di hospital.
“Doktor memaklumkan dia mempunyai harapan tipis untuk terus hidup dan mungkin penyakitnya bertambah serius. Namun, sehingga hari ini dia masih bertahan.
“Saya sudah tidak kuat tetapi bila lihat dia masih bertahan, saya pun kena kuat untuk Fatimah. Fatimah bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen selain pemberian susu khas setiap dua jam, dan penjagaan kebersihan yang ketat,” katanya ketika ditemui di Paroi di sini semalam.
Menurut Norfarahanim, anaknya juga menghidap neurogenic bladder, iaitu gangguan fungsi pundi kencing akibat kerosakan saraf yang memerlukan penggunaan tiub kencing serta penjagaan khusus.
Tambahnya, walaupun anaknya tidak menangis, dia dan suami, Muhammad Nur Azam Ramli, 32, perlu bangun pada waktu malam untuk beri susu dan ubat mengikut jadual bagi mengelakkan keadaannya terjejas.
“Masalah kewangan menjadi beban kami apabila pendapatan suami sebagai pengimpal hanya RM1,700 sebulan. Walaupun ada bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, ia masih belum mencukupi bagi membeli keperluan dan kos rawatan,” katanya.
“Tetapi apa yang paling menyedihkan apabila melihat penderitaan yang ditanggung anak saya setiap hari. Saya hanya mahu dia sihat dan selesa,” katanya.
Ujar Norfarahanim, dia akan terus menjaga Fatimah dengan baik walaupun mengetahui ia ujian yang berat dan doktor tidak dapat menjanjikan masa depan yang pasti buat anaknya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional Norfarahanim di nombor akaun 0860041000068884 atau hubungi 014-367 4423.














