PENYAKIT SLE boleh menyebabkan keradangan pada kulit. – Gambar hiasan

Makanan antiradang bantu kendali SLE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENYAKIT systemic lupus erythematosus (SLE) atau lupus mungkin jarang menjadi bualan utama masyarakat berbanding penyakit kronik lain.

Hakikatnya, penyakit autoimun ini bermula dengan keletihan melampau dan sakit sendi yang datang secara tiba-tiba. Ia simptom biasa apabila sistem imun badan tersilap menyerang tisu sihat.

Namun, penyakit ini tidak boleh dipandang remeh kerana boleh menyebabkan keradangan ringan sehingga tahap serius.

Keradangan ini boleh berlaku pada kulit, sendi, buah pinggang, otak, jantung, paru-paru dan sel darah manusia.

Walaupun ubat untuk sembuh sepenuhnya masih belum ditemui, namun bukti saintifik menunjukkan amalan pemakanan bercorak antiradang mampu membantu mengawalnya serta meningkatkan kualiti hidup pesakit dengan ketara.

Pandangan itu turut disokong oleh Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Sultan Zainal Abidin yang juga pakar dalam bidang dietetik dan pemakanan klinikal, Prof. Dr. Sakinah Harith.

Beliau menegaskan bahawa diet mampu bertindak sebagai pelengkap yang sangat baik kepada rawatan hospital.

“Pemakanan antiradang mampu mengawal tahap keradangan, namun perlu dilihat sebagai pelengkap kepada rawatan perubatan dan bukannya pengganti ubat doktor.

“Bagi amalan harian pula, pesakit disarankan mengisi separuh pinggan dengan sayur-sayuran tidak berkanji, suku pinggan bijirin penuh dan suku pinggan lagi dengan protein tanpa lemak.

“Makanan kaya lemak sihat seperti ikan dan omega-3 yang diambil dua hingga tiga kali seminggu pula didapati sangat berkesan mengurangkan keradangan, menjaga jantung serta memperbaiki kualiti tidur pesakit,” jelasnya.

Dalam pada itu, kandungan vitamin D, A, C, dan E penting untuk mengimbangi sistem imun manusia.

Jadi, pesakit perlu mendapatkan serat mencukupi sekitar 25 hingga 30 gram sehari daripada buah-buahan dan kekacang untuk mengekalkan bakteria baik dalam usus.

PESAKIT SLE perlu mengamalkan pemakanan sihat. – Gambar hiasan

Bukan itu sahaja, mereka juga perlu berwaspada dengan kesan sampingan ubat steroid jangka panjang seperti prednisolone yang digunakan untuk mengawal keradangan.

Ini kerana, ubat itu boleh membawa risiko tulang rapuh, kenaikan berat badan dan darah tinggi.

Bagi mengurangkan kesan buruk ini, pesakit dinasihatkan mengambil makanan kaya kalsium seperti susu rendah lemak, di samping mengurangkan pengambilan garam dalam masakan.

Sementara itu, bagi pesakit yang sudah mula memasuki fasa komplikasi buah pinggang atau lupus nephritis, kawalan diet akan menjadi lebih ketat.

“Mereka dikehendaki mengawal pengambilan garam untuk mengurangkan bengkak badan, mengehadkan protein, serta mengawal fosforus dan kalium sekiranya fungsi buah pinggang dikesan semakin merosot.

“Pada fasa ini juga, pesakit dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya mengambil lambakan suplemen di pasaran yang kononnya boleh menguatkan imuniti.

“Produk sebegini, terutamanya yang mengandungi ekstrak herba seperti alfalfa dan echinacea tidak boleh diambil tanpa nasihat doktor kerana boleh merangsang sistem imun yang sudah sedia aktif.

“Ia memburukkan lagi penyakit berkenaan,” katanya.

Oleh yang demikian, masyarakat diingatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan mitos diet melampau yang sering diamalkan di Malaysia.

Misalnya, tindakan mengelakkan terus semua sumber protein kerana terlalu takut membebankan buah pinggang.

Hal ini kerana tindakan ekstrem tanpa panduan pakar tersebut hanya akan mengundang risiko malnutrisi yang teruk serta masalah kehilangan jisim otot kepada pesakit.

Akhir kata, pengurusan gaya hidup secara menyeluruh seperti kawalan stres, tidur berkualiti dan senaman ringan perlu digabungkan bersama pemakanan sihat demi kestabilan kesihatan jangka panjang.

Oleh itu, komuniti di sekeliling terutama ahli keluarga wajar memainkan peranan proaktif dengan menyediakan sokongan emosi serta hidangan kaya nutrien.

Hal ini secara tidak langsung dapat membantu serta mempermudah pengurusan rawatan harian kepada penghidap SLE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN