Jika diberi peluang untuk memilih antara emas dengan kad perubatan (medical card), apakah yang akan bermain dalam fikiran individu yang ditawarkan peluang tersebut?
Bagi golongan muda, pastinya emas dipilih untuk simpanan hari tua dan juga pelaburan serta pelbagai lagi objektif kewangan masing-masing.
Namun, untuk mereka yang berusia lebih 40an dan menjangkau usia emas, kunci kegembiraan mereka adalah menikmati tahap kesihatan terbaik, tiada penyakit termasuk tiga serangkai. Jika adapun sekadar sakit sakit urat, lenguh lutut dan lain-lain.
Manfaat kesihatan ketika hidup semakin berumur menjadi satu bonus buat mereka apatah lagi dalam trend kos hospital yang melonjak dan juga cabaran masa yang terpaksa dikorbankan jika mendapatkan rawatan di hospital kerajaan serta kesesakan pesakit saban tahun.
Bagi mereka yang sudah memiliki kad perubatan sejak berusia remaja dan masih komited membuat bayaran premiumnya sehingga kini, tahniah buat anda, kerana terus percaya kepada kuasa perlindungan tersebut jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa depan.
Mereka tahu betapa besarnya nilai kad perubatan tersebut jika nanti diuji Tuhan dengan kesakitan yang memaksa dirawat di hospital dengan menjalani pelbagai prosedur sehingga kosnya boleh mencecah puluhan ribu.
Bagi individu yang berumur sehingga warga emas, jika masa itu boleh diputar kembali kepada usia muda, penulis adalah orang pertama yang akan memohon kad perubatan kerana tahu betapa berharganya nilai kad tersebut.
Disebabkan faktor itu jugalah, seorang warga emas yang berusia lebih 60 tahun baru sahaja memiliki kad perubatan kerana mahu mendapatkan perlindungan yang berharga ketika diuji sakit dan terpaksa dirawat di hospital swasta khususnya, namun nilai premium yang diperlu dilunaskan adalah sekitar RM1,500 sebulan.
Tiada mustahil bagi mana-mana individu yang memerlukan kad perubatan ini meskipun sudah semakin berumur tetapi mereka perlu melalui satu cabaran sukar oleh pemohon malah juga bagi ejen takaful.
Mereka perlu merasai pengalaman pendaftaran, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan rekod perubatan dan segala rekod kesihatan itu perlu diperjelaskan secara jujur kepada ejen syarikat takaful.
Segala ini perlu dilalui dengan tahap kesabaran yang tinggi dengan sokongan serta kerjasama daripada ejen takaful yang bersemangat tinggi, rajin untuk membantu pelanggannya memperoleh kad perubatan.
Tanpa semangat dan kerjasama yang baik, usaha tersebut tidak berjaya apatah jika seseorang itu memiliki beberapa rekod kesihatan, namun tanpa usaha mencuba, kita tidak tahu hasil kejayaannya.
Bagi ejen takaful pula, sokonglah kumpulan warga berumur ini untuk mendapatkan kad perubatan kerana mereka memiliki kuasa beli yang besar tetapi memerlukan pakej perlindungan yang baik, jadi caknalah mereka, bantulah mereka merealisasikan impian untuk kembali sihat meniti hari-hari mendatang sehingga ajal menjemput.














