fbpx

Operasi pencarian sehingga tujuh kilometer, mangsa belum ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba melakukan operasi pencarian menggunakan anjing pengesan di Sungai Lembing di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang hilang dibawa arus deras ketika berkelah di Pasir Puteri, Sungai Lembing di sini masih menemui jalan buntu apabila tiada petanda mangsa ditemukan setakat ini.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, operasi mencari dan menyelamat yang bermula pagi ini melibatkan kawasan sejauh tujuh kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi mencari mangsa hari ini dilakukan dengan kaedah pencarian permukaan, selaman dan juga menggunakan bantuan anjing pengesan bermula pukul 8 pagi.

“Operasi mencari berhadapan cabaran arus deras memandangkan malam semalam hujan lebat namun operasi terus digiatkan hari ini,”katanya di sini, hari ini.

Semalam, kegembiraan sebuah keluarga dari Terengganu berkelah di Pasir Puteri Sungai Lembing di sini bertukar duka selepas salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa Amirun Mohamad,14, bersama abang dan sepupunya dilaporkan turun ke sungai yang terletak kira-kira 100 meter daripada khemah mereka kira-kira pukul 2.15 petang.

Katanya, semasa sedang mandi mangsa bersama abang dan sepupunya dihanyutkan arus deras ke kawasan yang lebih dalam sebelum abang dan sepupu mangsa diselamatkan orang ramai manakala mangsa hilang dihanyutkan arus.

Menurut Ismail pihaknya merancang memperluaskan lagi kawasan pencarian petang ini dengan memulakan pencarian daripada bawah dan pencarian di kawasan air yang tenang.

Katanya, operasi hari ini dijangka berakhir pada pukul 6.30 petang sebelum disambung semula esok mengambil kira risiko pada malam hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI