fbpx

Hadis dakwa 100 selawat dapat 100 hajat dianggap daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar memaparkan laman PMWP mengenai perihal hadis lemah yang disebabkan masalah perawi.

PUTRAJAYA – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menjelaskan bahawa hadis yang mendakwa kononnya sesiapa yang berselawat 100 kali setiap hari Jumaat akan dikabulkan 100 hajat oleh Allah S.W.T adalah terlalu daif atau lemah untuk diyakini.

PMWP menerusi satu perkongsian di laman Facebook rasminya berkata, hadis tersebut amat lemah berikutan beberapa sebab antaranya terdapat dua perawi bermasalah iaitu Hakkamah binti Uthman dan bapanya sendiri, Uthman bin Dinar.

“Kedua-dua mereka merupakan periwayat hadis yang tiada kewibawaan dalam periwayatan sabda Nabi Muhammad S.A.W walaupun bersumberkan dari sahabat baginda, Anas bin Malik.

“Bahkan kajian seorang ulama kontemporari, al-‘Uqaili mendapati bahawa Hakkamah sering dikesan meriwayatkan banyak hadis batil yang tiada teks asal daripada bapa beliau sendiri,” katanya.

Pada masa sama ujar PMWP, hadis berkenaan diriwayatkan wanita itu secara tafarrud atau bersendirian kerana tiada jalur lain yang menyokong periwayatan disampaikan Hakkamah.

Ramai ulama hadis turut mempertikaikan kredibiliti Uthman antaranya Imam al-Zahabi yang mengkritik beliau sebagai perawi tiada kelayakan dalam periwayatan hadis Rasulullah S.A.W.

Hadis ini namun ditemui dalam beberapa kitab antaranya al-Targhib wa al-Tarhib oleh Qawam al-Sunnah selain Imam Abu Bakar al-Baihaqi dalam kitab Syu’ab al-Iman dan Fadail al-Awqat.

Ia popular kerana orang awam tidak mahir ilmu hadis melihat riwayat jalur bertemu madar atau paksi yang sama bersumberkan dari Anas, iaitu sahabat Nabi S.A.W terakhir meninggal dunia.

Walaupun hadis ini bertaraf daif, PMWP tidak pula menafikan kelebihan berselawat ke atas baginda pada Jumaat, antaranya hadis dinukilkan al-Baihaqi dalam kitab al-Sunan al-Kubra yang bermaksud, banyakkan selawat ke atasku pada setiap Jumaat, kerana selawat umatku dibentang kepadaku pada setiap Jumaat dan yang paling banyak adalah paling hampir kedudukannya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI