PUTRAJAYA – Pengeluar produk penjagaan kecantikan Dr. Cute International Sdn Bhd melalui jenama terkenalnya, DC Skin telah dinobatkan sebagai penerima Super Health Brand dalam satu majlis penyampaian anugerah, The Asia Pacific International Honesty- Book of Records 2026 di sini baru-baru ini.
Lebih menarik, pengasas syarikat iaitu Dr. Abdullah @ Maliq Alias atau lebih mesra dikenali sebagai Dr. Cute telah menerima anugerah sebagai Duta Kesihatan Asia Pacific.
Kejayaan ini telah meletakkan jenama DC Skin semakin kukuh malah menjadi perhatian dalam kalangan pelabur antarabangsa sebagai produk yang diyakini dan selamat digunakan.
Abdullah menjelaskan, pengiktirafan ini bukan sekadar trofi tetapi juga sebagai tanggungjawab besar yang perlu digalas untuk meningkatkan kesedaran masyarakat betapa pentingnya memilih produk yang selamat dan bebas bahan berbahaya seperti merkuri.
“Syukur dengan kedua-dua anugerah ini, dan saya lebih bersemangat bukan sahaja memberi tumpuan kepada bisnes, namun lebih besar fokus untuk mendidik masyarakat dalam memilih produk kosmetik
yang selamat.

“Masyarakat kita masih lagi berpendapat untuk cantik perlu putih dan memilih produk yang dapat memberi kesan yang cepat, jadi sebagai seorang yang memiliki latar belakang bidang perubatan, saya perlu lebih berusaha dalam memberi kesedaran kepada masyarakat” katanya kepada media selepas menerima anugerah tersebut di sini baru-baru ini.
Beliau yang melalui pelbagai pengalaman pahit manis dalam dunia perniagaan ini telah membuka klinik sendiri untuk menawarkan perkhidmatan dalam dunia penjagaan kesihatan
kulit.
Dalam pada itu beliau juga berjaya menghasilkan formulasi produk sendiri yang lebih selamat, berasaskan kajian dan pendekatan klinikal.
“DC Skin kini berusia enam tahun dan antara pencapaian besar adalah tiga daripada produk kami telah berada di Watsons sejak Januari lalu” ujarnya lagi.
DC Skin terdiri daripada suplemen VCSKNZ Probiotik, Gloskyn (oral sunblock) dan Lipotech.
Tambah beliau, apa yang membezakan DC Skin adalah pendekatan mereka yang menitikberatkan penyelidikan bersama institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia dan ujian klinikal bagi memastikan keberkesanan produk.
Abdullah memaklumkan, DC Skin juga telah menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Semua ini memberi keyakinan tambahan kepada pengguna yang kini semakin teliti dalam memilih produk penjagaan diri.
Apa yang dibawa oleh beliau sebenarnya lebih besar daripada sekadar jenama produk dan ini adalah satu gerakan kesedaran bahawa kecantikan tidak harus mengorbankan kesihatan. -KOSMO! ONLINE














