PETALING JAYA – Gelombang boikot terhadap kumpulan pencipta kandungan dikenali sebagai ‘AI Team’ mula tercetus dalam kalangan netizen selepas beberapa hantaran tular di media sosial sejak semalam.
Menerusi hantaran di laman Threads, seorang pengguna, @Nsyahirah.omar menyeru orang ramai memboikot secara berprinsip dengan menghentikan tontonan, perkongsian dan sokongan terhadap kandungan yang didakwa tidak menjaga batas.
Menurutnya, tindakan itu bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi menghentikan sokongan terhadap kandungan yang dianggap tidak selari dengan nilai masyarakat.
“Berhenti tonton, berhenti ‘follow’, berhenti ‘share’ dan berhenti jadikan mereka trending kerana dalam dunia content, perhatian kita adalah kuasa mereka,” katanya.
Seruan tersebut turut disokong pengguna lain yang menyifatkan kandungan dihasilkan kumpulan itu tidak memberi manfaat serta cenderung kepada unsur sensasi.
Seorang lagi pengguna, @Aamiiinn._ mendakwa kandungan tersebut mengandungi elemen yang bertentangan dengan norma termasuk penggunaan ‘double meaning’ dan interaksi lelaki serta wanita yang dianggap keterlaluan.
“Konten yang dibuat tidak ada faedah dan hanya untuk tarik perhatian. Jadi lebih baik berhenti sokong,” ujarnya.
Dalam pada itu, @Zinnirah.naa pula menggesa orang ramai untuk melaporkan akaun terlibat selain berhenti mengikuti serta berkongsi semula kandungan mereka.
Katanya, tindakan tersebut penting bagi memastikan kandungan seumpama itu tidak terus mendapat perhatian tinggi dalam media sosial.
Sementara itu, seorang pengguna lain, @_Abubakarmansor menyenaraikan beberapa sebab boikot termasuk kandungan yang disifatkan ‘cringe’, tidak berfaedah serta berpotensi memberi pengaruh negatif kepada golongan remaja.
“Benda kecil macam ini kalau dibiarkan boleh jadi normal dalam kalangan anak muda,” katanya.
AI Team adalah sebuah kolektif pencipta kandungan yag diasaskan dan diterajui oleh Alieff Irfan yang sebelum ini juga aktif dalam produksi kandungan seperti AI Studio.
Untuk rekod, AI Team pernah dikecam sebelum ini kerana video seperti Special Armed Force dan Mat Rempit V2 yang kerana menggambarkan hubungan pelajar–guru dan budaya mat rempit dalam cara yang dianggap menghina dan beri pengaruh negatif kepada golongan muda. – KOSMO! ONLINE














