JAKARTA – Pendakwa raya tentera hari ini mendakwa empat askar Indonesia atas pelbagai tuduhan termasuk melakukan serangan terancang berhubung peranan mereka dalam serangan asid terhadap seorang aktivis yang mengkritik peranan meluas tentera dalam kerajaan.
Aktivis hak asasi KontraS, Andrie Yunus mengalami kecederaan serius apabila dua lelaki menaiki skuter membaling asid ke arahnya bulan lalu semasa dia menunggang motosikal di Jakarta.
Andrie baru sahaja merakam podcast menunjukkan dia mengkritik apa yang dianggap sebagai ketenteraan kerajaan di bawah bekas jeneral yang kini Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Andrie, 27, buta mata kanan dan melecur 24 peratus badannya termasuk muka, leher dan anggota lain, demikian menurut pendakwa raya tenter, Mohammad Iswadi.
Keempat-empat lelaki yang ditahan semuanya bekerja untuk Agensi Perisikan Strategik tentera (BAIS) dengan ketuanya meletak jawatan susulan insiden itu. Punca dia meletak jawatan tidak pernah didedahkan.
Suspek yang terdiri daripada Edi Sudarko, 45, Budi Hariyanto Widhi Cahyono, 43, Nandala Dwi Prasetia, 40 dan Sami Lakka, 41, menghadiri hari pertama perbicaraan di mahkamah tentera dengan memakai pakaian seragam tentera.
Mereka diwakili oleh peguam yang dilantik juga oleh pihak tentera.
Seorang peguam bela bagi pihak mangsa memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak akan mempertikaikan dakwaan itu, membenarkan perbicaraan diteruskan.
Menurut pihak pendakwaan, semua tertuduh ‘diilhamkan’ oleh kemarahan terhadap aktiviti Andrie, dan tidak bertindak atas arahan pihak atasan.
Andrie dan pihak lain telah meminta perbicaraan itu diadakan di mahkamah sivil, dan bukannya mahkamah tentera, atas kebimbangan berlaku penutupan kes di sebuah negara di mana serangan ke atas aktivis jarang dihukum. – AFP














