PETALING JAYA – Tiga organ utama Allahyarham Syukri Bazli, 31, berjaya didermakan kepada penerima yang memerlukan, sekali gus memberi sinar baharu kepada pesakit lain selepas pemergiannya akibat serangan jantung.
Menurut perkongsian pengguna Facebook, Ahmad Nazrul, proses pembedahan bagi mengeluarkan organ telah selesai sepenuhnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pagi tadi.
“Jenazah Allahyarham kini berada di unit forensik hospital dan akan menjalani proses mandi serta kafan sebelum dibawa pulang ke kediaman neneknya di Felda Bukit Bading,” katanya.
Ahmad Nazrul berkata, dua buah pinggang dan hati arwah telah dihantar menggunakan helikopter ke beberapa hospital di Lembah Klang untuk pembedahan pemindahan segera.
“Satu buah pinggang di hantar ke Hospital Selayang, satu lagi buah pinggang dihantar ke Universiti Malaya dan hati telah di hantar ke Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga organ ini dihantar menggunakan helikopter pagi tadi.
“Hati akan dipindahkan kepada seorang kanak-kanak manakala buah pinggang kepada dua pesakit diabetis yang dalam proses dialisis,” katanya.
Tambahnya, selain organ utama, proses pengambilan tisu seperti tulang dan kulit juga dilakukan pada jenazah Allahyarham bagi kegunaan rawatan perubatan lain termasuk pembedahan ‘bone graft’ dan ‘skin graft’ untuk pesakit kemalangan, kanser serta melecur.
Menurut Ahmad Nazrul, keluarga Allahyarham telah memberikan keizinan penuh untuk pendermaan organ dan tisu tersebut demi membantu insan lain yang memerlukan.
“Solat jenazah selepas solat isyak malam ini di Masjid Tok Dor, Ajil. Yang mana berkelapangan dijemput hadir untuk solat jenazah.
“Proses mandi kafan dan van jenazah akan diuruskan sepenuhnya oleh Pertubuhan Amal Komuniti Besut by JNZA Gaung Global cawangan Kuala Berang dan Kuala Nerus,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














