fbpx
Alexander pada sidang akhbar selepas merasmikan International Conference on Slope 2026 (ICOS 2026) di Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Lokasi ‘hotspot’ cerun, jalan raya sentiasa berubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 cerun berisiko di seluruh negara kini berada dalam pemantauan rapi pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cerun-cerun tersebut berada pada tahap risiko berbeza, dengan sebahagiannya telah runtuh manakala ada yang masih dalam kategori berpotensi tinggi.

Menurutnya, pendekatan pemantauan dilakukan secara berterusan menggunakan kaedah tertentu termasuk teknologi bagi mengesan pergerakan tanah.

“Ada yang membahayakan, ada yang tidak. Ada yang sudah runtuh, ada juga yang kita tahu berisiko tinggi tetapi belum berlaku apa-apa. Kita pantau dahulu dan bukan kita tidak peduli,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan International Conference on Slope 2026 (ICOS 2026) di Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan teknologi memainkan peranan penting dalam menangani isu cerun yang boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya.

Katanya, penganjuran ICOS menjadi platform menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi berkongsi kepakaran serta idea berkaitan pengurusan cerun.

“Dalam persidangan ini, terdapat 47 kertas kerja dibentangkan termasuk oleh pakar dari luar negara yang berkongsi pengalaman masing-masing. Walaupun cerun itu sama, namun faktor seperti tanah dan topografi berbeza mengikut negara, jadi pendekatan juga tidak boleh disamaratakan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan data lokasi ‘hotspot’ cerun dan jalan raya sentiasa berubah mengikut keadaan semasa.

Jelasnya, lokasi yang telah dibaik pulih tidak lagi dikategorikan sebagai hotspot, namun kawasan lain boleh muncul sebagai titik baharu yang memerlukan perhatian.

“Data ini bergerak, bukan statik. Bila kita baiki satu kawasan, ia bukan lagi hotspot tetapi mungkin lokasi lain pula timbul isu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN