KUALA LUMPUR – Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka meningkatkan permintaan tenaga secara mendadak sekali gus menuntut perancangan rapi bagi memastikan bekalan elektrik kekal mencukupi dan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan pusat data, pengkomputeran awan dan infrastruktur AI di seluruh dunia memerlukan penggunaan elektrik pada tahap yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan berkaitan daya tahan grid tenaga, kemampuan kos elektrik dan kelestarian jangka panjang.
“AI bukan sahaja meningkatkan permintaan tenaga, malah boleh menjadi alat penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga.
“Ia boleh digunakan untuk meningkatkan kecekapan grid, meramal pengeluaran tenaga boleh diperbaharui serta mengoptimumkan penggunaan tenaga dalam sektor industri,” katanya ketika berucap pada Energy Transition Conference 2026 di KLCC hari ini.
Anwar berkata, Malaysia kini muncul sebagai antara destinasi utama pelaburan pusat data global khususnya di Johor dan Lembah Klang hasil kedudukan strategik negara serta persekitaran pelaburan yang kompetitif.
Beliau berkata, perkembangan tersebut meningkatkan tanggungjawab negara untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital bergerak seiring dengan agenda peralihan tenaga.
“Saya yakin Tenaga Nasional Berhad (TNB) mampu memimpin agenda peralihan tenaga negara dan memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat akibat perkembangan AI.
“Kita akan memastikan peralihan tenaga ini dilaksanakan secara adil, bekalan tenaga negara kekal terjamin dan AI dimanfaatkan demi kepentingan rakyat serta negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














