PETALING JAYA – Kira-kira lebih 2,000 ahli Jemaah Ahmadiyah Qadiani (JAQ) dikesan masih aktif di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Sumber berkata, Polis Diraja Malaysia sentiasa menjalankan pemantauan dengan agensi berkaitan sejak kumpulan tersebut difatwakan sesat.
“Rangkaian jemaah ini memang dikesan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak. Mereka dipercayai mempunyai modus operandi tersendiri di setiap wilayah.
“Misalnya, di Semenanjung, rangkaian JAQ dikesan bertapak di Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat Gombak dan dipercayai masih aktif sehingga hari ini,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau mengulas mengenai kes 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama kumpulan Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan dalam operasi penguatkuasaan di dewan sebuah sekolah menengah semalam.
Serbuan tersebut dijalankan susulan aduan berhubung penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei lalu.
Mengulas mengenai tangkapan terbabit, sumber berkata, pihaknya telah mengesan sebuah program yang dipercayai anjuran JAQ sebelum mengambil tindakan dengan kerjasama JHEAINS.
“Program itu dipercayai menjemput ahli jemaah kumpulan tersebut secara dalaman, namun pengendalian acara itu dibuat secara terbuka di dewan sebuah sekolah menengah.
“Kita dapati program itu yang berlangsung selama tiga hari dilihat seolah-olah seperti acara tahunan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ajaran tersebut telah difatwakan sebagai ajaran sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam di Sabah, namun tidak dikategorikan sebagai terkeluar daripada Islam.
“Di Selangor pula, fahaman itu difatwakan sebagai terkeluar daripada Islam. Jadi, jabatan agama Islam di Selangor tidak dapat mengambil tindakan terhadap mereka. Sebab itu mereka masih menganjurkan program, namun pihak berkuasa tetap memantau,” katanya.
Beliau menjelaskan, perkara itu menyebabkan mengapa tindakan diambil di Sabah, namun tidak di Selangor, termasuk terhadap individu dikaitkan dengan JAQ.
Bagaimanapun, PDRM sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa agama dalam menangani isu ajaran sesat.
Berdasarkan laman web Jabatan Mufti Selangor, JAQ adalah satu ajaran yang menyalahi ajaran Islam yang sebenar dan pengikut-pengikutnya telah dihukumkan kafir oleh ulamak Islam serata dunia.
Justeru, Jabatan Agama Islam Selangor telah menghukumkan kafir kepada pengikut-pengikut JAQ yang berpusat di Batu 20 Jeram, Kuala Selangor pada 15 Disember 1975 sebelum diwartakan pada tahun 2000.
Bagi di Sabah, JAQ telah difatwakan sesat dan menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Sabah pada 13 September 2007.














