
MEKAH – Dakwaan yang mengatakan mengambil gambar di Masjidil Haram boleh dikenakan denda sebanyak 10,000 riyal adalah tidak benar.
Bagaimanapun, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, ia tidak bermakna para jemaah boleh merakam gambar sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan fokus ibadah.
“Saya nak maklumkan bahawa tiada masalah untuk mengambil gambar di sekeliling Kaabah. Tetapi adalah disarankan supaya mereka ini tidak membuat demikian semasa melaksanakan ibadah.
“Masa masa tawaf jangan buat video dan sebagainya kerana itu mungkin mengganggu ibadat mereka.
“Jadi untuk mereka mengambil gambar selepas tawaf dan mengambil gambar di di persekitaran Masjidil Haram, tiada masalah dan yang mengatakan kena denda 10,000 riyal tu adalah tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar mingguan operasi haji 1447H/2026 di sini semalam.
Sebelum ini, tular di media sosial yang mendakwa pihak berkuasa Arab Saudi mengenakan denda 10,000 riyal atau bersamaan RM10,500 dan ditahan serta dihantar pulang ke negara asal kepada mana-mana pihak yang mengambil gambar atau video di Masjidil Haram khususnya di hadapan Kaabah.- KOSMO! ONLINE














