KUALA LUMPUR – Tindakan dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan mengakibatkan sebuah kereta hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah lagi kenderaan serta pagar di Jalan Tun Razak di sini dalam kejadian malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan kira-kira pukul 8 malam itu membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Almera yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun dan sebuah Honda Civic dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Almera dalam perjalanan dari arah Jalan Tun Razak menuju ke Jalan Sultan Yahya Petra sebelum kejadian berlaku.
“Ketika memasuki simpang ke Jalan Sultan Yahya Petra, pemandu dipercayai telah menekan pedal minyak secara berlebihan sehingga gagal mengawal kenderaan.
“Kenderaan itu kemudian terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebuah Honda Civic dan pagar di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Katanya, hasil ujian saringan alkohol menggunakan alat SD2+ terhadap pemandu Toyota Almera menunjukkan bacaan 000mg/100ml, manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan turut didapati negatif.
“Antara tindakan yang telah diambil ialah membuat lawatan ke lokasi kejadian, memohon rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), mengambil gambar kerosakan kedua-dua kenderaan serta merakam percakapan pemandu yang terlibat.
“Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














