PETALING JAYA – Seorang aktivis Rohingya, Noor Azizah sekali lagi menjadi perhatian ramai selepas tular rakaman video memaparkan pendedahannya yang mengakui tiada keinginan untuk bertutur dalam bahasa Melayu meskipun sudah lama menetap di Malaysia.
Katanya, bahasa Melayu memiliki banyak dialek sehingga menyebabkannya hilang minat untuk memahami dan menguasai dengan baik.
“Saya boleh cakap bahasa Melayu, tapi saya tidak tahu bahasa Melayu terlalu banyak. Saya bukan orang Melayu. Saya tidak mempunyai keinginan untuk bercakap bahasa Melayu.
“Saya tahu aksent Australia sedikit. Saya mempunyai keinginan untuk bercakap bahasa Rohingya walaupun mempunyai aksent Australia dan saya boleh bercakap sedikit Urdu,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan aktivis tersebut mengundang rasa tidak senang dalam kalangan netizen yang berpendapat Malaysia selama ini telah memberikan perlindungan dan peluang kepada pelarian Rohingya walaupun negara ini bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951.
Sebelum ini, Noor Azizah dikecam netizen apabila ucapannya dalam satu majlis menyentuh tentang nasib pelarian etnik Rohingya di Malaysia ketika menerima anugerah ‘Marie Claire Women of the Year’ bagi kategori ‘Voice of Now’ 2025 di Australia baru-baru ini.
Menerusi video tular itu juga, Noor Azizah membangkitkan isu dihadapi komuniti Rohingya di negara serantau lain iaitu Indonesia dan Thailand, termasuk kisah pengalaman penganiayaan terhadap etnik tersebut sejak melarikan diri dari Myanmar.
Dakwanya, lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya di Malaysia kini ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi, bukannya di dalam bilik darjah.
Kenyataannya itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial sambil mempertikaikan tindakan wanita terbabit yang lantang mengkritik Malaysia ketika berada di pentas antarabangsa.
Terbaharu, semakan Kosmo! mendapati akaun media sosial milik aktivis berkenaan telah disekat dan tidak dapat diakses pagi ini.
Difahamkan, ramai yang telah membuat laporan kepada pengendali media sosial termasuk Instagram, TikTok dan Threads agar akaun Noor Azizah disekat penggunaannya. – KOSMO! ONLINE














