PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 13 individu termasuk seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di Utara tanah air kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2.5 juta daripada kontraktor.
Kegiatan itu dipercayai sebagai dorongan melantik syarikat-syarikat kontraktor yang dikawal oleh ejen-ejen kartel syarikat bagi memonopoli kerja-kerja lantikan terus dan sebut harga agensi tersebut.
Menurut sumber, tiga daripada mereka melibatkan dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat telah direman selama dua hari bermula semalam.
“10 lagi suspek direman lima hari juga bermula sehingga 20 Jun selepas Majistret Anis Hanini Abdullah membenarkan permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pagi semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu telah ditahan kira-kira antara pukul 8 hingga 11 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Katanya, daripada 13 suspek yang direman semalam, lapan daripadanya adalah penjawat awam manakala lima lagi adalah orang awam dan pemilik syarikat.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2026.
“Kontraktor yang ditahan mendakwa mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah untuk diberikan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan tersebut,” ujarnya.
Isnin lalu, Bahagian Siasatan SPRM telah menjalankan operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak menerusi Op Drain.
Sebanyak 25 lokasi yang terdiri daripada kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan telah digeledah dan menyita beberapa barangan seperti wang tunai berjumlah kira-kira RM 1.5 juta.
Rampasan turut membabitkan satu unit jam tangan mewah, dua kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi dan barangan kemas bernilai kira-kira RM1 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














