fbpx
MESSI meraikan jaringan ketika membantu juara bertahan itu menewaskan Algeria 3-0 dalam aksi Kumpulan J Piala Dunia 2026 di Stadium Kansas City, Missouri, hari ini. -AFP

Piala Dunia 2026: Hatrik Messi bantu Argentina benam Algeria 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANSAS CITY, Amerika Syarikat – Lionel Messi meledak hatrik untuk memimpin juara bertahan, Argentina memulakan misi mempertahankan gelaran Piala Dunia 2026 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Algeria dalam aksi pembukaan Kumpulan J, awal pagi tadi.

Skuad La Albiceleste yang turun dengan reputasi sebagai antara pilihan utama kejohanan tampil dengan permainan yang tersusun dan menguasai sebahagian besar permainan ketika Algeria mengimpikan kejutan terbesar pada perlawanan pembukaan mereka di Stadium Kansas City .

Pada perlawanan tersebut, Messi hampir membuka tirai jaringan lebih awal apabila satu golnya dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid, namun kegagalan itu tidak menjejaskan rentak permainan pemenang lapan Ballon d’Or tersebut.

Bintang berusia 39 tahun itu akhirnya meletakkan Argentina di depan pada minit ke-17 menerusi jaringan berkualiti selepas menerima hantaran Rodrigo De Paul sebelum melepaskan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti yang menerjah gawang Algeria.

MESSI meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas melengkapkan hatrik ketika membantu Argentina membelasah Algeria 3-0 pada aksi Kumpulan J Piala Dunia 2026 di Stadium Kansas City, hari ini. – AFP

Gol tersebut menyuntik keyakinan buat Argentina yang terus menguasai permainan menerusi kombinasi kemas di bahagian tengah dan serangan yang diterajui Messi serta Alexis Mac Allister.

Algeria cuba bangkit pada babak kedua, namun benteng pertahanan Argentina yang diketuai Cristian Romero berjaya menyerap setiap ancaman yang dilancarkan.

Messi kemudian menggandakan kelebihan Argentina pada minit ke-60 apabila bijak menyambar bola muntah hasil percubaan Mac Allister yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Algeria, Luca Zidane.

Kapten Argentina itu hampir melengkapkan hatrik lima minit kemudian, namun percubaan berbahayanya berjaya ditepis cemerlang oleh Zidane yang bertindak pantas menyelamatkan gawang pasukannya.

Bagaimanapun, Messi berjaya meledak hatrik apabila gol ketiga peribadinya pada minit ke-76 hasil gerakan bijak Nicolas Gonzalez sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk menewaskan Zidane sekali lagi.

Hatrik itu turut menyaksikan Messi membawa jumlah jaringan di pentas Piala Dunia kepada 16 gol, sekali gus menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman milik legenda Jerman, Miroslav Klose, sambil menghadiahkan permulaan sempurna buat Argentina dalam usaha mempertahankan gelaran Piala Dunia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN