SHAH ALAM – Caj tinggi yang dikenakan oleh platform e-dagang dilihat semakin menekan usahawan tempatan sehingga menjejaskan margin keuntungan dan kelangsungan perniagaan mereka.
Mentor Usahawan Jutawan dan Pengerusi Eksekutif Richworks, Datuk Dr. Azizan Osman berkata, usahawan dalam talian kini terpaksa menanggung caj antara 20 hingga 25 peratus bagi setiap transaksi jualan di platform digital.
Menurut beliau, kadar tersebut antara yang tertinggi di rantau ini berbanding negara jiran seperti Indonesia, sekali gus memberi tekanan besar kepada peniaga tempatan.
“Kita antara negara yang mengenakan caj paling tinggi dan memberi kesan besar khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana yang bergantung sepenuhnya kepada platform tersebut untuk menjana pendapatan.
“Bayangkan jika jualan mencecah RM1 juta setahun, jadi mereka perlu membayar sehingga RM250,000 kepada platform. Itu belum termasuk cukai, zakat dan kos operasi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran program Potensi 2026: Kenali dan Kuasai Potensi Diri, Wang dan Bisnes di Akademik Richworks di sini hari ini.

Sehubungan itu, Azizan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan mekanisme kawal selia seperti dilaksanakan di negara jiran termasuk Indonesia dan Vietnam bagi mengurangkan beban tersebut.
Tambah beliau, isu berkenaan merupakan luahan majoriti usahawan di bawah rangkaian Richworks yang mahu kerajaan tampil dengan penyelesaian lebih menyeluruh.
“Daripada kita hanya membayar kos platform yang tinggi, lebih baik dana itu disalurkan kepada zakat dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menggerakkan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemasukan peniaga luar negara yang menggunakan platform sama untuk menjual produk pada harga lebih rendah sehingga mewujudkan lambakan produk import dalam pasaran tempatan.
“Lebih membimbangkan, hasil jualan tersebut terus mengalir ke luar tanpa dikenakan cukai di Malaysia,” ujarnya.

Mengulas mengenai Potensi 2026 itu, Azizan menyasarkan 10,000 peserta bakal menyertai program yang akan dilaksanakan pada bulan depan.
“Program secara percuma ini akan memberikan kelebihan kepada mereka yang melalui pemberhentian pekerjaan.
“Kita melihat ramai yang telah melalui fasa awal itu dan akhirnya mereka kini mampu mencapai pendapatan sehingga RM50,000 sebulan dengan ilmu usahawan yang tepat, “
katanya.
Terdahulu, pada majlis tersebut, Azizan mewakili Richworks menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Program Bimbingan Keusahawanan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Terbesar yang disampaikan Pegawai MBR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah. -KOSMO! ONLINE














