GENEVA – Perbelanjaan melibatkan senjata nuklear di seluruh dunia melonjak ke paras tertinggi pada 2025 apabila negara-negara kuasa nuklear memindahkan lebih banyak bom dari simpanan ke lapangan, kata pakar-pakar hari ini.
Sembilan negara senjata nuklear bersama-sama membelanjakan hampir AS$119 bilion (RM483.4 bilion) untuk senjata pemusnah besar-besaran itu tahun lalu, meningkat 19 peratus berbanding 2024, demikian menurut agensi Kempen Antarabangsa Penghapusan Senjata Nuklear(ICAN).
“Perlumbaan senjata nuklear baharu kini berlaku,” kata ICAN dalam amarannya.
ICAN dan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm(SIPRI) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan risiko perang nuklear ketika ketegangan geopolitik semakin meruncing.
Peningkatan mendadak perbelanjaan untuk senjata nuklear berlaku ketika negara-negara kuasa nuklear berlumba untuk memodenkan senjata dan menggunakan lebih banyak stok masing-masing, kata SIPRI dan ICAN.
Laporan SIPRI menyatakan, bilangan peledak nuklear menurun selama beberapa dekad, jatuh kepada 12,187 bom pada awal tahun ini, tetapi memberi amaran, bilangan senjata nuklear sedia digunakan pula meningkat kepada 9,745.
“Walaupun kita mempunyai bilangan senjata nuklear yang lebih rendah, tahap bahaya nuklear dan risiko perang nuklear sebenarnya semakin meningkat,” kata pengarah SIPRI, Karim Haggag kepada AFP.
Dalam pada itu, Washington membelanjakan lebih banyak daripada semua negara lain digabungkan iaitu kira-kira AS$69.2 bilion (RM281 bilion) untuk senjata nuklear pada 2025, meningkat AS$12.4 bilion (RM50.3 bilion) dari tahun sebelumnya, kata ICAN.
Di tempat kedua ialah China yang membelanjakan AS$13.5 bilion (RM54.8 bilion) tahun lalu, diikuti Britain sebanyak $12.6 bilion (RM51.1 bilion) dan Russia sejumlah AS$9.5 bilion (RM38.5 bilion), katanya. – AFP














