fbpx

60 bekas pekerja syarikat pengangkutan tuntut pampasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 60 orang bekas pekerja berkumpul secara aman di stesen bas SKMK, Kubang Kerian menuntut bayaran pampasan yang dijanjikan kepada mereka.

KOTA BHARU – Seramai 60 bekas kakitangan sebuah syarikat pengangkutan berkumpul secara aman di hadapan sebuah stesen bas di Kubang Kerian di sini bagi menuntut bayaran pampasan yang belum dijelaskan oleh pihak pengurusan syarikat itu.

Bekas Ketua Stesen syarikat terbabit, Mohd. Amin Mohd. Sharif berkata, mereka terpaksa membuat tuntutan itu selepas pihak terbabit langsung tidak membayar wang pampasan yang dijanjikan selepas menawarkan tawaran bersara awal kepada pekerja berusia 40-an hingga 50-an dua tahun lalu.

Menurutnya, selepas pekerja menerima tawaran itu, syarikat itu berjanji untuk membuat bayaran pada akhir Julai dua tahun lalu, namun tiada sebarang pembayaran dijalankan sehingga hari ini.

“Kita telah membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Buruh (JTB) mengenai perkara ini. Selepas perbicaraan di mahkamah, JTB telah mengarahkan syarikat terbabit membayar pampasan berjumlah RM2,000 hingga RM 40,000 mengikut tempoh perkhidmatan masing-masing, namun masih tiada bayang sehingga hari ini.

“Bekas pekerja yang terlibat dalam kes ini terdiri daripada pegawai eksekutif bahagian penguat kuasa, ketua stesen, penyelia, pemandu dan kerani. Pihak pengurusan sebuah konsortium yang berjanji untuk membayar pampasan itu juga senyap tanpa khabar berita,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurut Mohd. Amin, pihaknya ada berjumpa dengan pihak konsortium itu pada 15 Julai lalu untuk menyelesaikan perkara itu.

Ujarnya, semasa pertemuan dijalankan, pihak konsortium menunjukkan salinan cek tertera jumlah pampasan yang akan dibayar pada 30 Julai, namun tiada bayaran diterima selepas itu.

Tambahnya, bekas pekerja syarikat terbabit yang teraniaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini Isnin lalu berhubung perkara itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI