RANCANGAN perjalanan saya dan rakan, Iyra di Albania bermula dengan langkah yang sederhana tetapi penuh jangkaan.
Kami memasuki negara itu melalui sempadan Hani i Hotit- Bozhaj dan terus menuju ke tapak perkhemahan berbayar berhampiran Shkoder untuk beberapa malam.
Proses di sempadan Montenegro-Albania itu berjalan lancar dan pantas, kurang dari 15 minit di kedua-dua belah pihak. Sejurus masuk, kami membeli insurans kenderaan yang diwajibkan.
Tapak perkhemahan itu tenang dengan jumlah kenderaan yang sedikit, sekali gus memberi kami ruang memilih lokasi terbaik.
Walaupun Albania terkenal dengan banyak kawasan perkhemahan bebas, namun kami memilih untuk menetap di sini kerana beberapa urusan penting di Shkoder, termasuk keadaan tayar kenderaan yang sudah hampir haus selepas lebih 60,000 kilometer (km) perjalanan berikutan banyak merantau di serata Afrika dan Eropah dengan kenderaan sendiri.
Untuk makluman, Albania merupakan negara dengan peratusan Muslim sebanyak 60 peratus.
Pemilik tapak perkhemahan banyak membantu dalam perancangan kami.
Dia memaklumkan bahawa tayar jenama pilihan sukar diperoleh di rantau ini, lalu kami memutuskan untuk menangguhkan penukaran tayar.
Dia juga menjelaskan bahawa pilihan makanan halal sangat terhad, jadi kami memilih untuk menikmati hidangan makanan laut.

Selain itu, dia memberi amaran laluan ke Komani dan Lembah Valbona kurang baik akibat kerja naik taraf jalan. Dengan keadaan kenderaan yang tidak begitu meyakinkan, kami memilih untuk tidak memandu sendiri ke kawasan tersebut.
Kami bertanya tentang lawatan sehari ke Sungai Shala dan dia mengatur semuanya dengan mudah.
Kos lawatan hampir sama dengan kos bahan api jika kami memandu sendiri, termasuk perjalanan bot.
Kami terus bersetuju dan menempah lawatan keesokan harinya. Keesokan pagi, kami menaiki van bersama beberapa pelancong lain menuju Komani.
Perjalanan sangat mencabar dengan jalan berlubang, menguatkan lagi keputusan kami untuk tidak menggunakan kenderaan sendiri.
Dari Komani, kami berjalan melalui terowong sebelum menaiki bot merentasi tasik yang indah, dikelilingi pergunungan tinggi seperti Fjord.
Kami meneruskan perjalanan ke Sungai Shala yang airnya jernih dan sangat sejuk.
Di Pantai Zgiboza, kami berehat, berenang dan menikmati bekalan makanan sendiri kerana pilihan restoran tidak sesuai dari segi halal.
Kami kembali ke Shkoder pada waktu malam dan sempat membeli makanan dari kiosk kebab halal berhampiran tapak perkhemahan.
Keesokan harinya, kami meneroka bandar Shkoder dan menikmati suasana santai bandar itu.

di hadapan kubu istana lama di Gjirokaster, Albania.
Kami juga mencuba restoran makanan laut yang disyorkan, sebelum terserempak dengan dua rakyat Malaysia yang menetap di London ketika bercuti di Balkan.
Sebelum meninggalkan kawasan itu, kami membuat lencongan ke Jambatan Mesi iaitu jambatan batu era Uthmaniyyah abad ke-18 yang merentangi Sungai Kir.
Perjalanan diteruskan ke Tirana tanpa masalah. Kami bermalam di tapak perkhemahan di pinggir bandar dan melawat pusat bandar keesokan harinya. Antara lokasi kami kunjungi adalah Bunk’Art 2 yang memaparkan sejarah era komunis Albania serta Masjid Et’hem Bej yang bersejarah.
Lawatan kami singkat kerana waktu solat Jumaat. Kami kemudian bergerak ke Berat, bandar bersejarah yang dikenali sebagai ‘kota seribu jendela’.
Namun ketika menuju Osumi Canyon, kenderaan kami mula mengeluarkan bunyi berdecit. Kami berpatah balik ke Berat, dan seterusnya ke Tirana untuk pemeriksaan lebih teliti.
Rancangan ke Osumi Canyon akhirnya dibatalkan kerana keadaan kenderaan dan ketiadaan tayar sesuai.
Kami meneruskan perjalanan ke Gjirokaster, bandar batu yang paling kami kagumi di Albania.
Destinasi terakhir adalah Blue Eye, mata air semula jadi yang indah tetapi agak sesak dengan pelawat.
Kami bermalam di situ sebelum meninggalkan Albania melalui sempadan Kakavia menuju Greece, menamatkan satu fasa perjalanan yang penuh pengalaman dan cabaran.
















