SUNGAI PETANI – Penjawat awam wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga baru-baru ini dikatakan hanya mengetahui dia adalah isteri kedua suspek selain disembunyikan maklumat bahawa lelaki tersebut pernah bernikah sebanyak sembilan kali dan mempunyai 11 anak.
Abang mangsa yang berusia 45 tahun berkata, adiknya hanya memaklumkan dia merupakan isteri kedua dengan isteri pertama lelaki itu juga dikatakan seorang penjawat awam.
“Dia (adik) hanya tahu dia isteri nombor dua. Jadi apabila polis beritahu suspek pernah berkahwin sebanyak sembilan kali, mempunyai tiga isteri dan 11 anak, dia memang terkejut,” katanya di sini semalam.
Menurut lelaki itu, adiknya dipercayai berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi perkenalan.
“Siapa tidak sayang adik, sebelum ini kami sekeluarga selalu bercuti bersama. Selepas berkahwin dengan suspek, banyak yang berubah. Apapun, saya mohon doakan keadaan dan semangat adik pulih sepenuhnya,” ujarnya.
Jelasnya, adiknya sudah sedar apa yang berlaku kepadanya dan berharap agar suspek dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal.
“Kami sekeluarga juga sangat berharap agar suspek dikenakan hukuman berat atas apa yang dilakukannya terhadap adik,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mangsa berusia 39 tahun mengalami kecederaan parah termasuk keguguran akibat dipukul suami berusia 43 tahun di sebuah rumah di Ampangan Heights, di sini minggu lalu.
Suami mangsa yang melarikan diri berjaya ditahan di sebuah inap desa di Alor Setar pada petang Selasa lalu sebelum direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu.
Siasatan ke atas suspek dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau objek
berbahaya.
Polis seterusnya mendedahkan suspek pernah berkahwin sebanyak sembilan kali dan kini mempunyai tiga isteri dan 11 anak.
Dia juga didapati mempunyai empat rekod jenayah juga berkaitan kes mencederakan, ugutan jenayah dan menyembunyikan kelahiran membabitkan isteri dan teman wanita. -KOSMO! ONLINE














