PETALING JAYA – Berkenalan di laman sosial, penyanyi Zubir Khan kini bergelar suami kepada Dr. Heama Maleini dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Bangi Golf Resort, Bangi, semalam.
Zubir atau nama sebenarnya Muhammad Zubir Mohamad Ali, 26, dinikahkan jurunikah, Ustaz Abdul Aziz Abd. Rahman hanya dengan sekali lataz.
Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 berserta lima dulang hantaran termasuk barang kemas, berbalas tujuh dulang.
Pasangan mempelai tampil anggun dan segak dalam busana tradisional masyarakat India dengan Zubir mengenakan persalinan sherwani dilengkap selendang dupatta, manakala Heama berbusana sari rona merah.
Suasana bertukar hiba sejurus selesai akad nikah apabila Zubir tidak dapat menahan sebak ketika mencium tangan ibu serta mentuanya bagi memohon restu sehingga mengalirkan air mata.
Penyanyi lagu Yennode Macha itu dan isterinya mula berkenalan pada tahun 2024 menerusi media sosial sebelum sepakat membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius.
Zubir dan Dr. Heama terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada April lalu.
Sebelum ini penyanyi terbabit turut berkongsi beberapa momen pra-perkahwinan bersama Dr. Heama menerusi Instagram. – KOSMO! ONLINE














