fbpx
Zulkifli pada sidang akhbar selepas perasmian Program Safar Tour Wakaf Wilayah Persekutuan Siri 1 di Kompleks Darul Kifayah, Batu Caves, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

Pewakaf boleh ‘tidur lena’ bila projek dilaksana dengan baik – Zulkifli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Program Safar Tour Wakaf Wilayah Persekutuan akan dijadikan acara berkala bagi membolehkan pewakaf melihat sendiri hasil sumbangan mereka yang diterjemahkan kepada pelbagai projek pembangunan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pendekatan itu bertujuan meningkatkan keyakinan pewakaf sedia ada serta menarik lebih ramai masyarakat untuk berwakaf.

“Kita adakan program bersama pewakaf-pewakaf untuk melawat tempat-tempat wakaf yang telah kita bangunkan supaya mereka dapat melihat sendiri apakah yang telah dilaksanakan dan manfaat yang telah diberikan.

“Insya-Allah program ini akan diadakan secara berkala dan berterusan untuk meyakinkan pewakaf dan juga bakal-bakal pewakaf,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Safar Tour Wakaf Wilayah Persekutuan Siri 1 di Kompleks Darul Kifayah, Batu Caves, hari ini.

Beliau berkata, antara projek utama yang diketengahkan ialah Kompleks Kecemerlangan Pendidikan Islam MAIWP di Putrajaya yang disifatkan sebagai projek ‘flagship’ bagi melahirkan generasi profesional yang menguasai ilmu akademik dan agama.

Menurutnya, kompleks berkenaan dibangunkan dengan menggabungkan elemen warisan, teknologi serta pendidikan aqli dan naqli bagi memenuhi permintaan masyarakat yang semakin meningkat.

Mengulas mengenai Safar Tour Wakaf Siri 1, Zulkifli berkata, peserta dibawa melawat tiga projek wakaf dan konsep sama akan diteruskan pada siri akan datang dengan penambahbaikan serta pengenalan projek baharu.

“MAIWP dan PPZ tidak mahu lagi berbicara tentang konsep dan teori. Apa yang kita mahu tunjuk adalah pelaksanaan yang telah diterjemahkan dan memberi manfaat kepada masyarakat, ummah serta para penerima,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan program itu terbuka kepada semua pewakaf yang mempunyai kelapangan, manakala mereka yang tidak dapat hadir boleh menyertai siri akan datang atau mengikuti perkembangan projek melalui platform digital.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kebanyakan projek wakaf telah beroperasi dengan baik walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

“Pewakaf-pewakaf yang telah mewakafkan harta mereka tidak perlu bimbang. Mereka boleh tidur lena kerana semuanya telah pun dilaksanakan dan diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN