IPOH – Kerajaan negeri Perak dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) mencapai kata sepakat untuk meneruskan penganjuran Matta Connect di negeri ini pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, lebih menarik lagi, ia akan dianjurkan serentak dengan Matta Fair Perak.
Beliau berkata, ia sekali gus menghimpunkan dua acara utama pelancongan dalam satu penganjuran yang lebih besar, lebih menyeluruh dan lebih berimpak.
“Penganjuran Matta Connect di Ipoh tahun ini mencatat sejarah apabila acara padanan perniagaan pelancongan antarabangsa itu buat pertama kalinya dibawa ke Perak.
“Acara berkenaan berjaya menarik penyertaan ratusan pembeli serta penggiat industri pelancongan dari dalam dan luar negara, termasuk Thailand, China, Indonesia, Singapura, India dan Uzbekistan,” katanya ketika berucap merasmikan Matta Fair Perak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sze Yee berkata, penganjuran tersebut turut menyediakan platform penting kepada penggiat pelancongan tempatan untuk berhubung secara langsung dengan pasaran antarabangsa.
Bahkan, katanya, mereka juga berpeluang meneroka peluang perniagaan baharu serta memperluas jaringan kerjasama.
“Hasil usaha bersama Kerajaan Negeri Perak dan Matta, kedua-dua pihak hari ini secara rasmi telah mencapai kata sepakat bahawa Matta Connect akan terus dianjurkan di Perak pada tahun hadapan.
“Program ini akan dirancang dan digerakkan bersama oleh Tourism Perak dan Matta, dengan skala serta skop penganjuran yang akan diperluas lagi,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran Matta Connect dan Matta Fair secara serentak pada tahun hadapan akan menggabungkan sesi padanan perniagaan pelancongan antarabangsa dan promosi produk pelancongan.
Selain itu, ia turut melibatkan jualan pakej percutian kepada orang ramai serta rundingan komersial dalam satu platform bersepadu.
“Gabungan kedua-dua acara itu akan menghimpunkan pembeli antarabangsa, penggiat industri tempatan dan pengguna di bawah satu bumbung, sekali gus memperluas capaian pasaran serta menjana manfaat ekonomi yang lebih besar kepada Perak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














