KUALA LUMPUR – Pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia, penyanyi kumpulan terkenal Jepun, AKB48 iaitu Azuki Yagi teringin menggayakan busana tradisional tempatan.
Menurut Azuki, keinginannya timbul kerana menganggap busana tradisional tempatan cukup anggun dan kaya dengan identiti kebudayaan.
“Saya teringin nak pakai baju tradisional kebangsaan Malaysia sebab saya lihat orang Malaysia pakai sangat cantik.
“Pakaian itu melambangkan identiti Malaysia dan saya harap suatu hari nanti dapat peluang untuk memakainya,” katanya semasa sidang media khas AKB48 The Stage in Japan Expo Malaysia 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Sementara itu, rakannya iaitu Sae Arai menyimpan hasrat untuk mengunjungi Batu Caves yang sering menjadi destinasi pilihan pelancong.
“Saya pula teringin nak panjat tangga Batu Caves.
“Saya tahu tempat itu agak jauh dari sini, tetapi saya dengar Batu Caves merupakan antara destinasi yang wajib dikunjungi ramai pelancong dan artis luar negara apabila datang ke Malaysia,” kongsinya.
Kehadiran AKB48 kali ini adalah bersempena konsert eksklusif AKB48 The Stage yang bakal berlangsung pada 25 Julai 2026 sempena Japan Expo Malaysia 2026 (JEMY 2026) di KLCC.
Kemunculan tersebut pastinya mengubat kerinduan peminat tempatan apabila kumpulan sensasi Jepun tersebut kembali membuat persembahan di Malaysia selepas hampir dua tahun sejak konsert terakhir mereka di Kuala Lumpur pada 2024.
Lebih mengujakan, peminat di Malaysia bakal menjadi antara yang terawal mendengar single terbaharu AKB48 berjudul Sukisshu yang akan dipersembahkan secara eksklusif sebelum dilancarkan secara rasmi di Jepun pada 19 Ogos depan.
Antara lagu yang melonjakkan nama AKB48 di persada antarabangsa ialah Heavy Rotation, Aitakatta, Flying Get dan Koisuru Fortune Cookie, yang sehingga kini masih menjadi siulan peminat.
Tiket konsert dijual pada harga bermula RM180 dan boleh didapati menerusi laman web etix.my.
Japan Expo Malaysia 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai 2026 di Dewan 6, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sebagai antara acara utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, ekspo berkenaan bakal menghimpunkan pelbagai elemen budaya Jepun termasuk muzik, makanan, pelancongan dan budaya pop, sekali gus menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. – KOSMO! ONLINE














