SEREMBAN – Golongan warga emas dilihat lebih bersemangat menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berbanding pengundi muda apabila menjadi kelompok paling ramai hadir ke pusat mengundi sejak awal pagi, hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, berdasarkan pemantauan di beberapa pusat mengundi sekitar Seremban, kehadiran pengundi amat menggalakkan dengan kadar keluar mengundi mencecah 28.11 peratus setakat pukul 11 pagi.
Menurutnya, pemerhatian mendapati warga emas lebih ramai keluar mengundi berbanding golongan muda walaupun proses pengundian baharu bermula pada pukul 8 pagi.
“Setakat pukul 11 pagi, jumlah keluar mengundi ialah 28.11 peratus. Bagaimanapun, daripada pemerhatian kami, kita lihat warga emas lebih banyak keluar mengundi berbanding orang muda.
“Jadi kita harap orang muda cepat-cepat bangun dan keluar mengundi kerana kita menjangkakan cuaca pada sebelah petang tidak begitu baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato’ Klana Petra Maamor, di sini hari ini.
Ramlan berkata, berdasarkan ramalan cuaca, hanya kawasan Port Dickson dijangka mengalami cuaca baik sehingga petang, manakala daerah lain berkemungkinan dilanda hujan, sekali gus boleh menjejaskan pergerakan pengundi ke pusat mengundi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kesemua 401 pusat mengundi melibatkan 1,668 saluran di seluruh Negeri Sembilan dibuka serentak pada pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 6 petang. – KOSMO! ONLINE














