RAUB – Serangan lalat luar biasa di Kampung Sega Lama di sini sejak seminggu lalu memaksa peniaga menutup sementara kedai makan kerana tidak mampu menanggung tekanan dan kerugian.
Pemilik Warung Kampung People, Noralela Harun, 40, berkata, situasi kali ini berbeza kerana berlaku dalam tempoh lebih lama dan sukar dikawal.
“Sebelum ini walaupun ada lalat, saya masih buka kedai kerana ini sumber rezeki kami. Kali ini memang tidak boleh kawal lagi, terlalu banyak lalat sampai melekat pada makanan walaupun ditutup,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.
Noralela berkata, pelbagai kaedah digunakan termasuk pelekat dan semburan lalat, namun tidak berkesan kerana jumlahnya yang terlalu banyak.
“Ramai pelanggan yang merungut mereka kena hurung lalat. Sebagai peniaga, kami malu. Lalat masuk ke dalam makanan dan minuman, jadi kami terpaksa buang. Ini bukan sahaja melambatkan kerja, malah menyebabkan kerugian,” katanya.

Noralela juga bimbang mengenai risiko kesihatan pelanggan kerana serangga itu boleh membawa penyakit seperti cirit-birit.
“Kalau pelanggan sakit, kami juga yang susah sebab itu kami ambil keputusan tutup sementara,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamed Zaki Che Rus, 50, berkata, masalah lalat tersebut turut mengganggu aktiviti harian penduduk sekitar iaitu Kampung Ulu Renggol, Jeruas, Tersan dan Jeram Besu.
“Kami terpaksa keluarkan duit membeli semburan dan kertas pelekat lalat. Ada yang terpaksa letak bayi dalam kelambu walaupun cuaca panas kerana bimbang dihurung lalat. Kadang-kadang nak bercakap atau menguap pun kena berhati-hati sebab lalat masuk mulut,” katanya.
Mohamed Zaki berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut demi kesejahteraan dan kesihatan penduduk setempat.














